Tanda si Dia berbohong
Posted on February 6, 2008
Filed Under tips |
Tahukah anda kalau si dia bohong pada anda? Apakah tanda-tanda yang dapat anda perhatikan pada diri si dia bila dia bohong semasa menjawab soalan anda atau bohong bila bercerita pada anda?
Tahukah anda bahawa ada sesuatu pada diri anda yang akan memberikan signal pada yang melihat dan mendengar bahawa anda sebenarnya telah bohong?
Mungkin kita juga pada satu-satu ketika telah berbohong pada seseorang. Suami ada kalanya mungkin berbohong pada isterinya dengan tujuan mengelak ribut-ribut, leteran dan lainnya. Isteri pula ada kalanya berbohong pada suami agar tidak dimarahi, dicemburui dan sebagainya. Banyak juga keadaan bilamana kita telah dibohongi tapi kita tidak sedar.
Sekiranya anda dapat mengetahui dengan mantap mengenai tanda-tanda orang berbohong ini, tentu anda akan lebih mudah menangani berbagai masalah berkaitan dengannya. Terutamanya bagi orang yang berniaga, kemahiran ini penting untuk diketahui kerana penipuan boleh berlaku bila-bila masa dan boleh menyebabkan kerugian yang banyak.
Anda tidak mampu menyelami isi hati si dia dengan hanya memahami apa yang dizahirkan oleh si dia melalui kata-kata. Ini kerana kata-kata itu zahir setelah ditapis oleh otak tua. Otak tua atau otak dewasa (adult brain) biasanya menyekat sesuatu tindakan dari dilakukan kerana ‘pengalaman telah mengajarnya bahawa kesan tindakan itu adalah tidak baik atau tidak dikehendaki’.
Contohnya, otak tua mungkin akan menyekat anda daripada mengembangkan idea-idea baru (ilham) yang datang pada anda dan mungkin anda selalu cenderung untuk masuk ke ‘zon selesa’ (comfort zone) dalam kehidupan anda. Kalau terlalu dilayani otak tua ini, anda boleh menjadi seorang escapist (cuba lari dari kenyataan hidup) dan tidak mahu mencuba perkara baru (perkara yang baik, menguntungkan lagi bermoral).
Mampukah anda mengetahui sama ada si dia berbohong atau bercakap benar? Anda boleh jadi ‘life lie-detector‘ jika anda tahu tanda-tanda si dia berbohong. Dalam sesi-sesi kursus yang saya kendalikan, terutamanya sesi motivasi, saya sendiri perlu membaca riak seseorang peserta untuk mengetahui sama ada dia berbohong atau tidak. Jika dia berbohong, saya perlu gunakan pendekatan yang berbeza agar dia akhirnya akan bercakap benar dan mengaku. Biasanya manusia ini akan berkata benar ‘di akhir rancangan’, pada mulanya mereka akan cuba berselindung selagi mereka boleh berselindung.
Satu perkara yang menarik mengenai hal berbohong ini ialah bahawa jika seseorang itu berbohong, dia akan menghabiskan banyak tenaga dan dia akan jadi lebih risau dan tertekan. Ini kerana dia terpaksa menambah bohongnya untuk menutup pembohongan yang sebelum itu. Sekiranya dia terlupa atau tersalah bohong, maka tembelangnya pecah. Kerana itu dia akan berada dalam keadaan yang semakin bimbang.
Saya akan mencatat sebahagian kecil dulu tanda-tanda si dia berbohong. Saya akan mulakan dengan apakah yang dapat anda perhatikan melalui gerakan badan si dia yang sedang bercakap dengan anda itu:
1. Tidak Berani Menentang Mata Anda
Perhatikan si dia bila anda bertanya atau bila dia bercakap dengan anda tentang sesuatu. Adakah dia memandang anda? Jika si dia berbohong, dia hanya memandang anda sekilas saja atau tidak memandang langsung apatah lagi menentang mata anda. Si dia akan lakukan apa saja untuk mengelak dari memandang mata anda.
2. Jadi Kekok
Apakah maknanya? Kalau selalunya anda lihat tangan dan lengannya bergerak-gerak dengan tempo dan gaya tertentu bila dia bercakap atau bila anda bertanya, kali kini anda dapati tangan dan lengan si dia jadi kaku atau gerakannya seperti dibuat-buat. Kalau dalam keadaan biasa mukanya ada ekspresi tertentu yang anda kenal, kali ini anda tidak nampak ekspresi itu. Anda dapat lihat mimik muka dan gerakan tangan serta lengannya agak terhad.
3. Jadi Kecut
Perhatikan lagi. Kalau si dia sedang berbohong, tangan, lengan dan kakinya akan dirapatkan ke tubuhnya dan itulah yang dikatakan ‘jadi kecut’.
4. Tangan Pergi Ke Kawasan Muka
Perhatikan tangan si dia. Tangan itu biasanya tidak memegang tempat lain di tubuhnya melainkan akan merayap ke muka, kerongkong, terutama mulutnya.
5. Tapak Tangan Tidak Terbuka
Kalau si dia berbohong, secara spontan tubuhnya akan merengkok macam pokok semalu apabila anda sentuh. Perhatikan tangannya, kalau dia menyentuh dadanya dengan tapak tangan yang terbuka, si dia mungkin tidak berbohong ketika itu.
6. Sentuh Hidung, Garu Telinga
Perhatikan tangannya lagi. Adakah dia menyentuh hidungnya atau menggaru belakang telinganya? Jika itu berlaku, besar kemungkinannya si dia sedang berbohong pada anda.
7. Mengangkat Bahu
Tentu anda pernah lihat bagaimana keadaannya bila seseorang itu mengangkat bahunya sebentar saja kemudian kembali ke posisi normal. Perhatikan si dia. Jika dalam keadaan dia cuba nampak santai dan tenang, anda lihat bahunya terangkat sedikit, mungkin dia sedang berbohong.
Saya cuma berpesan, jangan sampai salah sangka pula atau tersalah membaca, maklumlah ini baru siri pertama dari saya.
Dan jika anda memang orang yang suka berbohong, anda mungkin cuba pelajari perkara di atas tadi agar bohongan anda tidak dapat dikesan! Suka hati andalah. Tapi percayalah, anda tidak akan dapat melakukannya dengan sempurna dan orang yang tahu akan dapat melihat bahawa pergerakan anda kekok dan dibuat-buat.
InsyaAllah, saya akan catat lagi tanda-tanda lain yang boleh anda lihat pada diri si dia jika dia berbohong. Kita jumpa lain kali.





Leave a Reply