Ingin menjadi lelaki digilai wanita walaupun perut boroi..klik sini
Powered by MaxBlogPress  

Undang lantik Menteri Besar hendak dipinda?

Posted on March 27, 2008
Filed Under politik |



Kaji cara lantik pemimpin negeri

Menteri anggap undang-undang sedia ada sudah lapuk, timbulkan masalah

PUTRAJAYA:
Undang-undang yang ketinggalan zaman, khususnya berkaitan pelantikan
pemimpin kerajaan negeri, wajar dikaji semula supaya tidak timbul
masalah pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Senator Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, kajian semula itu
perlu kerana ada antara undang-undang negeri itu digubal pada awal
1900-an dan sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini.

“Ada
kalanya sesuatu perkara itu menjadi rumit kerana kita ada undang-undang
yang ketinggalan zaman dan lapuk. Walaupun ia undang-undang lama, ia
perlu dipatuhi kerana masih wujud. Jika ada keperluan memindanya atau
jika ia tidak sesuai pada zaman ini, ia mesti dipinda,” katanya pada
sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata
demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Menteri Besar
Terengganu yang menyaksikan istana dan parti pemerintah tidak sepakat
berhubung pilihan penjawat dan kuasa untuk melantik seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan negeri.

Majlis Penasihat Pemangku
Raja (MPPR) melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk
Ahmad Said, sebagai Menteri Besar Terengganu manakala Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menamakan semula Datuk Seri Idris
Jusoh untuk jawatan itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri
menyatakan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru
menggantikan Idris, tidak kena dari segi Perlembagaan.

Ditanya
apakah beliau sedang meneliti perkara itu, Zaid berkata: “Ya, sudah
tentu… sebilangan Perlembagaan negeri digubal pada 1911, 1920… Saya
percaya Peguam Negara juga sedang meneliti perkara itu, begitu juga
beberapa kementerian. Kita perlu beri tumpuan kepada isu ini bagi
mengelak konflik”.

Bagaimanapun, Zaid menegaskan, perkara itu
perlu diselesaikan secara rundingan bagi mencapai kesepakatan antara
kerajaan yang memerintah dan pihak istana.

“Kita kena bincang
perkara ini dan dapatkan kesepakatan bagaimana kita mengharmonikan
harapan kerajaan demokratik dengan pihak istana. Jika ada konflik, ia
perlu diselesaikan secara rundingan dan itulah yang perlu kita
lakukan,” katanya.

Mengenai perubahan terhadap badan kehakiman
negara, Zaid berkata, Jemaah Menteri semalam mengulangi komitmen untuk
melaksanakan cadangan itu dan beliau akan menyediakan Kertas Kabinet
selepas kajian teliti, termasuk mengambil kira laporan Suruhanjaya
Diraja yang menyiasat kesahihan klip video yang didakwa membabitkan
peguam Datuk VK Lingam,

Beliau berkata, perubahan yang
dicadangkan beliau itu bukan sekadar kosmetik tetapi secara dasar bagi
memperkukuhkan badan kehakiman negara.

“Saya mahu melihat
badan kehakiman diperkasakan dengan mereka yang layak dan memiliki
strategi. Saya mahu melihat permulaan yang baru,” katanya.

Ditanya
apakah Kabinet sudah membuat keputusan berhubung saranan beliau supaya
kerajaan memohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas,
berhubung pemecatannya daripada jawatan itu pada 1988, Zaid berkata,
pandangan beliau belum dipertimbangkan.

“Ramai lagi (menteri) yang lebih berpengalaman dan bijak daripada saya, kita kena tunggu keputusan,” katanya.

Merujuk
permohonan maaf Kerajaan Australia kepada penduduk pribumi negara itu
dan permohonan maaf kerajaan Afrika Selatan kepada penduduk kulit hitam
berhubung dasar aparteid, beliau berkata, ia bukan sesuatu yang tidak
boleh dilakukan kerajaan.

“Ia adalah sesuatu yang boleh kita (kerajaan) lakukan, terpulang kepada pemimpin,” katanya.

Ditanya
apakah pentadbiran Abdullah atau Tun Dr Mahathir Mohamad yang wajar
membuat permohonan maaf itu, Zaid berkata: “Anda tidak boleh
mengharapkan Dr Mahathir untuk memohon maaf… pentadbiran itu sudah
tiada lagi.”

Mengenai Undang-Undang Antilompat Parti yang
dicadangkannya, Zaid berkata, beliau belum mengemukakan cadangan
terperinci kepada Kabinet.

Zaid juga berkata, beliau tidak berminat untuk memegang atau bertanding merebut sebarang jawatan dalam Umno.

“Saya
menyertai kerajaan kerana saya mahu membantu. Saya hanya mahu tumpukan
kepada tugas ini,” katanya sambil menambah beliau sedar ada pihak yang
tidak suka dengan pandangan beliau.

Sumber: Berita Harian 27/03/08

Ulasan:

Bila
dah berlaku konflik, khususnya yang menjejaskan kepentingan UMNO,
barulah timbul isu undang-undang sudah lapuk dan perlu diganti. Selama
ini, undang-undang lapuk inilah yang diagung-agungkan dan Malaysia
sering didakwa UMNO sebagai sebuah model negara demokrasi dan negara
Islam terbaik, dengan undang-undang lapuk ini. Inilah pemikiran
kelompok-kelompok sekular di dalam UMNO yang hanya hidup untuk meraih
manfaat dunia tanpa mempertimbangkan dosa dan pahala. Mereka tidak
pernah terfikir untuk menukar undang-undang lapuk ini dengan
undang-undang Islam, namun mereka pastinya akan tukar dengan
undang-undang yang akan memberi manfaat kepada UMNO.

Krisis
yang belum berkesudahan di antara kerajaan persekutuan dan juga pihak
istana negeri Terengganu tidak lain adalah berpunca dari undang-undang
warisan penjajahan British. Perlembagaan yang digubal oleh British
antara lain menetapkan bidang kuasa di antara kerajaan negeri dan
kerajaan persekutuan. Memang sudah menjadi dasar British yang kufur dan
musuh Islam, undang-undang yang mereka ‘tinggalkan’ ini adalah bagi
memastikan sistem kufur mereka terus dianuti oleh umat Islam. Bezanya,
dulu merekalah yang menerapkannya secara langsung, kini, lebih buruk,
ia diterap dan dipertahankan oleh pemimpin Muslim yang ada. Semasa
pemerintahannya, British telah pun menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu
sebatas menjaga agama dan upacara keagamaan sahaja. Hukum Islam hanya
dibenar diamal dalam kes nikah kahwin, cerai, harta pusaka, penjagaan
anak dan seumpamanya. Itu sahaja. Selebihnya undang-undang hendaklah
dibuat sendiri mengikut suara majoriti, tidak perlu mengikut
undang-undang Islam.

Begitulah natijahnya apabila berhukum
dengan hukum buatan manusia, lompang dan keburukannya ada di mana-mana.
Di dalam kes terbaru ini pertikaian berlaku apabila pihak istana
mengguna pakai perlembagaan negeri Terengganu tahun 1919 untuk melantik
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai
menteri Besar Terengganu yang baru. Manakala Perdana Menteri pula
melalui bidang kuasanya sebagai ‘penasihat’ telah menyerahkan watikah
pelantikan kepada Menteri Besar yang lama. Situasi ini sebenarnya
saling tak tumpah sewaktu pesuruhjaya British memerintah dahulu, di
mana British (sebagai pemerintah) selalunya akan mengenepikan istana
dalam soal pemerintahan.

Selama mana umat Islam itu masih
berhukum dengan hukum Jahiliyyah, membuat hukum sendiri dan tidak
kembali kepada Al-Quran dan Sunah, maka selama itulah perpecahan dan
murka Allah akan tertimpa ke atas mereka. Firman Allah SWT,

“Dan
bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka
ikutilah akannya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain),
kerana jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalanNya”
[TMQ Al-An’aam (6):153].

sumber : mykhilafah.com

Artikel berkaitan

Comments

Leave a Reply





This blog uses the CommentLuv plugin which will try and parse your sites feed and display a link to your last post, please be patient while it tries to find it for you.