Melayu tidak, Umno yang tercabar
Posted on April 13, 2008
Filed Under politik |
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu ketuanan Melayu
semakin dimainkan oleh Umno bagi mengalih perhatian umum daripada
masalah dalaman ekoran prestasi buruknya dalam pilihanraya umum lalu.
Beliau, yang juga mantan timbalan presiden Umno, menegaskan demikian ketika ditanya mengenai berita muka depan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Ketuanan Melayu tercabar’ hari ini.
Ketika
bertitah dalam Perhimpunan Perpaduan Melayu semalam, Tengku Mahkota
Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail berkata, tidak
wajar bagi kaum bukan Melayu yang mendapat kerakyatan, menuntut
persamaan hak dan keistimewaan yang sama dengan orang Melayu.
“Kita
tidak mendengar mengenai isu (hak Melayu) ini bulan lalu atau sebelum
pilihanraya umum. Saya percaya niat mereka adalah untuk mengalih
pandangan umum,” kata Anwar.
Katanya, apa yang lebih penting ialah memperjuangkan ‘ketuanan rakyat’.
“Dan
apabila kita sebut ‘rakyat’, ia termasuklah orang Melayu… terutama
yang yang tertindas dan bukannya yang kaya,” kata Anwar, yang juga
bekas menteri kewangan.
“Pendekatan kita seharusnya untuk
membantu rakyat yang dipinggirkan, yang dinafikan peluang dan hak
mereka. Oleh itu, ia termasuklah orang Melayu, Cina, India dan rakyat
Malaysia yang lain,” katanya.
Anwar berkata, beliau yakin bahawa
Pakatan Rakyat akan terbukti lebih berkesan dalam membantu rakyat,
berbanding dengan Umno ataupun BN sebelum ini.
Jawab kritikan Dr M
Mengulas
mengenai kritikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
mengaitkan beliau dengan Yahudi, Anwar menolak dakwaan itu sebagai
“tidak masuk akal”.
Bercakap
kepada pemberita pada forum kepimpinan Melayu di Kajang semalam, Dr
Mahathir berkata hanya orang Israel yang akan mengundi Anwar jika
beliau mahukan jawatan Perdana Menteri.
“Beliau (Dr Mahathir)
nampaknya semakin letih dan keliru. Saya tidak pernah bertemu mana-mana
pemimpin Israel, tetapi beliau ada berjumpa… secara diam-diam, ketika
beliau menjadi perdana menteri,” katanya.
Anwar berkata, Dr
Mahathir berurusan dengan pihak Yahudi, membabitkan AS$1.2 juta yang
didakwa telah dibayar kepada pelobi Amerika Syarikat, Abramoff untuk
mengatur pertemuan beliau (Dr Mahathir) dengan presiden negara kuasa
besar itu George W Bush pada 2002.
Anwar menasihati Dr Mahathir
supaya memberikan tumpuan menjaga kesihatan dirinya dan memohon maaf
kepada rakyat atas kezaliman yang telah dilakukannya.
Dr
Mahathir juga, tambah Anwar, perlu menjelaskan tentang bagaimana beliau
telah memusnahkan badan kehakiman, mengawal media, bagaimana beliau
menahan beratus-ratus orang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
termasuk ketika Operasi Lalang 1987.
Di samping itu, katanya, Dr
Mahathir juga perlu menjelaskan pembabitannya dalam pelbagai amalan
rasuah, salah urus, mencuri dana kerajaan melalui banyak syarikat milik
kerajaan yang mengalami kerugian seperti Perwaja Steel.
“Saya fikir lebih baik beliau menjawab isu-isu berkenaan,” tegas Anwar.
Hadiri perhimpunan esok
Mengenai desakan Dr Mahathir supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur, Anwar berkata:
“Sejak dulu lagi saya tidak pernah mengambil serius pandangan Dr Mahathir.”
“Sudah
tentulah perdana menteri tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab
terhadap kekalahan BN, tetapi beliau mengetuai kempen pilihanraya
bersama dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata Anwar.
“Najib
yang menerajui kempen dan Abdullah adalah perdana menteri, jadi
kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk
mereka,” katanya.
Mengenai rancangannya untuk bertanding kerusi
parlimen, Anwar sekali lagi berkata, ia tidak penting sekarang kerana
beliau mahu menumpukan kepada usaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat.
“Kerjaya (politik) peribadi saya bukan satu keutamaan kerana saya masih ada masa,” tambahnya.
Ditanya mengenai pelan peralihan kuasa Abdullah kepada timbalannya, Anwar berkata:
“Umno
dan parti-parti komponen utama (BN) dalam keadaan huru-hara sekarang.
Pilihan terbaik untuk mereka ialah menyertai Pakatan Rakyat.”
Anwar
dijadual menghadiri satu perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman di
Kampung Baru esok untuk menandakan tamat larangan ke atas beliau aktif
dalam politik.
Larangan selama lima tahun itu berakhir pada Selasa depan.
Tidak pohon permit
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata PKR tidak
memohon
permit untuk perhimpunan “Black 14″ di Kelab Sultan Sulaiman, malam
esok tetapi hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai
majlis makan malam pemimpin PKR bersama rakyat.
Menurut Bernama,
beliau berkata, pihaknya menerima surat mengenai majlis makan malam itu
bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu Pegawai
Khas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Surat
itu menyatakan hasrat PKR untuk mengadakan jamuan makan malam bersama
wakil rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada pukul 8 malam
esok dan akan dihadiri oleh penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar
Ibrahim,” katanya kepada pemberita hari ini.
Muhammad Sabtu
berkata walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian,
polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan
rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.
“Sekiranya
mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan
sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan
pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami
akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
sumber : malaysiakini.com





Leave a Reply