Pergggh besarnya payudara dan pejal, apa rahsianya...klik sini
Powered by MaxBlogPress  

Bank Islam Menindas?

Posted on April 23, 2008
Filed Under kewangan |



Apabila
sesuatu itu di buat atas nama Islam, ianya mistilah berasakan kesucian
dengan berpandukan ajaran Rasul. Melebelkan nama Islam, sebenarnya
merupakan satu tanggungjawab besar untuk melaksanakan amalan-amalan
keislaman itu sendiri. Mengapakah bank itu dinamakan Bank Islam?
Tidakkah Bank Islam terasa terpikul dengan nama Islam yang
disandangnya. Melebel Islam tetapi tidak beridentitikan Islam adalah
perbuatan yang ‘meloyakan’ . Kecualilah,

orang-orang
yang menubuhkannya mempunyai agenda bisnes untruk medominasi umat-umat
Melayu supaya melunggukkan duit di situ kerana rata-rata orang Islam
lebih mementingkan kesucian. Kita lihat sejauhmanakah perjalanan dan
perlaksanaan sistem bank islam benar-benar islam? Apakan bezanya Bank
Islam dengan bank-bank konvensional yang lain.? Mungkinkah dengan
penukaran istilah dari istilah faedah kepada profit misalnya,
menyebabkan ianya menjadi suci? Sejauhmana Bank Islam hanya berhujjah
dangan isu BLR untuk memuliakan diri sendiri? Mungkinkah dengan
ciri-ciri yang Bank Islam ada, menyebabkan ramai orang yang bukan islam
tidak tertarik dengan Bank Islam. Mereka selalu berkata..’ sama saja
maaaa’.

Kadang-kadang kita harus memahami apa sebenarnya maksud ‘riba’. Oleh
sebab itu, Bank Islam cuba untuk lari dari riba dangan menukar istilah
iaitu dari feadah kepada profit. Atas istilah baru itu, apa sahaja
bayaran yang lebih dikenakan bolehlah dihalalkan.Sedangkan maksud
sebenar riba adalah lebihan atau tambahan (al-ziyadah) yang dikenakan
ke atas pinjaman. Dan sebab utama riba (bayaran lebih) ini diharamkan
adalah kerana Islam memandang ianya sebagai satu penganiayaan ke atas
si peminjam, yang terpaksa menanggung jumlah bayaran balik yang jauh
lebih tinggi dari apa yang dipinjamnya.

Sebagai contohnya, kalau dengan bank konvensional, pinjam RM100,000,
bayar balik RM220,000, RM120,000 (bayaran lebih) itu adalah riba dan
satu penganiayaan kepada si peminjam. Dengan Bank Islam pula, pinjam
RM100,000, bayar balik RM250,000, bayaran lebih RM150,000 (jauh lebih
tinggi). Adakah ini bukan riba dan bukankah satu penganiayaan?Malahan
ia dihalalkan oleh Ustaz-ustaz yang disuap dengan gaji tinggi oleh
pihak bank kerana anda menjaga kepentingan pelabur-pelabur mereka.

Cuba kita fikir sendiri. Kita ada rumah bernilai RM100,000 dan nilai
tersebut sudah pun disahkan oleh jurunilai berdaftar mengikut harga
pasaran. Tapi bila kita beli rumah tersebut dari Bank Islam secara
ansuran, Bank Islam cakap harga jualannya adalah RM250,000. RM250,000
itu berdasarkan nilai pasaran 30 tahun akan datang. Adakah kita rela
atau menyumpah-nyumpah dengan Bank Islam kerana ‘mark-up’ harga tahap
maut? Takkan kita nak niat sedekah pada bank yang sudah sememangnya
kaya-raya.

Lazimya, Bank Islam berhujah, bahawa “harga kami adalah tetap”. Tidak
kira apapun terjadi harga sudah ditetapkan. Disinilah point Bank Islam
untuk membela diri dan menyucikan diri, tetapi sesuatu yang kita harus
tanya, apakan jadi dengan harta, jika dilelong atau telah muflis? Cara
kiraan Bank Islam amatlah menyedihkan. Contohnya, katakan anda buat
pinjaman RM100,000 dengan kadar 7.5% setahun untuk 30 tahun. Harga
jualan bank islamik = RM 250,944. Sebulan anda bayar lebih kurang RM700
sebulan. Setahun, anda bayar RM8,400. 10 tahun anda bayar RM 84,000.
Ditakdirkan, selepas 10 tahun, anda mengalami masalah kewangan dan
tidak mampu bayar ansuran rumah lebih setahun. Rumah tersebut terpaksa
bank lelong . Mengikut harga pasaran, rumah tersebut dinilaikan pada
harga RM160,000. Tetapi kerana rumah itu dilelong pada harga murah, ia
hanya dapat dijual pada harga RM 146,000 sahaja. Bank Islam akan buat
pengiraan berdasarkan harga jualan yang sudah ditetapkan dari awal
(RM250,944), tolak semua bayaran yang anda sudah buat selama 10 tahun
(RM84,000) dan harga kutipan lelong RM146,000. Oleh kerana anda gagal
buat bayaran dan rumah dilelong, bank tidak akan beri anda rebet atau
diskaun. Mereka caj harga penuh. Selepas ditolak semua bayaran, anda
masih lagi berhutang kepada bank RM20,944. Mahkamah perintahkan anda
bayar baki hutang pada kadar RM100 sebulan dan selagi ia tidak selesai,
anda masih diblack-list dari kesemua institusi kewangan (CTOS) sampai
mati.

Ini bebeza dengan bank konvensional (Bukan nak memuji bank
konvensional, sekadar ambil perbandingan) apabila rumah anda dilelong,
jumlah yang boleh dituntut oleh pihak bank, hanyalah setakat full
settlement amount selepas 10 tahun (RM 86,655) dicampur dengan
tunggakan bayaran serta interest (katakanlah semua RM10,345). Dari
harga lelong RM146,000, tolak full settelement value RM 97,000, anda
masih dapat untung RM 49,000 dari harga lelong tadi. Memanglah anda
kini takde rumah, tapi sekurang kurangnya anda tidak ditinggalkan dalam
keadaan masih berhutang dengan pihak bank. Boleh jugak mulakan hidup
baru dengan menyewa dan selesaikan hutang hutang lain.

Kadang2 terfikir mana yang lebih zalim… Mengapa sesuatu yang dibuat
atas nama Islam boleh mengolah sistem kewangan sezalim itu?

Selalunya Bank Islam berhujah atas nama BLR. Ramai rakyat tidak tahu
makna BLR ini. Kadang-kadang orang-orang bank menakut-nakutkan pengguna
dengan BLR terutama jika berulang lagi krisi ekonomi.

Memang kita akui, kadar BLR akan berubah ubah dari masa ke semasa,
tetapi ia tidak akan naik tidak tentu pasal. Jika ia dinaikkan, tentu
ada sebab di sebaliknya. Sebagai contoh, tahun 1998 kadar BLR terpaksa
dinaikkan kerana masalah manipulasi matawang ringgit di pasaran luar.
Bila kadar pinjaman dinaikkan, ekonomi akan jatuh. Jika kita
perhatikan, BLR naik pun tidak lama. BNM pun tahu, kalau kadar BLR
disetkan tinggi, lama-lama orang tak mampu bayar loan mereka akan
menderita. Kadar pinjaman tidak berbayar (non-performing loan) naik
mencanak-canak. Selepas 2 tahun, kadar BLR jatuh kepada 6.8%, kemudian
kepada 6.4% dan akhir sekali kepada 6.0%.

Hanya apabila harga petrol dinaikkan 30 sen, harga barang mula naik,
inflasi juga mula naik. Untuk mengawal inflasi dan harga barang yang
dikawal, maka BNM naikkan kepada 6.75% sekarang ini. Anda boleh
refinance loan konvensional lama kepada loan baru yang menawarkan kadar
lebih murah BLR , dengan FREE MOVING COST , tanpa ada yuran guaman.
Pindah saja loan lama kepada bank baru yang menawarkan interest yang
lebih murah. Malahan ada institusi kewangan yang sanggup beri fixed
rate untuk loan konvensional sepanjang tempoh pinjaman seperti di AIA
Assurance, Malaysian Building Society (MBSB), Citibank,CIMB Bank dan
sebagainya. Mereka boleh offer 5.75%, 5.99%, 6% fixed rate loan,

Rasa-rasa mana yang lebih mahal? Loan konvensional atau loan islamik?
Sekalilagi saya tegaskan, bukan untuk memuji bank konvensional, sekadar
buat perbandingan, sahaja dan untuk melihatkan Bank Islam dan Bank
konvensional tiada bezanya.

Ini satu lagi, produk Bank islam yang didakwa adil dan mencerminkan keislaman iaitu rebet(ibra’)
Apa itu ibra’? Ianya hanya sekadar gimik Sistem pinjaman Islam. Kita abmil contoh keadah ibra ni,
berpandukan contoh pinjaman rumah tadi, setelah membayar pinjaman rumah
selama 10 tahun (total payment RM84,000), nilai full settlement untuk
loan konvensional adalah RM 86,655. Anda bayar RM 84,000, hanya untuk
mengurangkan baki pinjaman sebanyak RM 13,345. Ini yang orang dulu
mengamuk, bayar punyalah banyak, tapi baki pinjaman baru berkurangan
sikit. Kebanyakan bayaran selama ni, hangus sebagai interest (bayaran
lebih) kepada bank sahaja. Ini yang banyak dijadikan modal oleh islamik
bank untuk menjatuhkan sistem interest oleh bank konvensional, kononnya
tak telus. Padahal, orang mengamuk sebab mereka tidak ada pengathuan
tentang sistem pengiraan loan.

Kalau anda pakai loan islamik, setelah bayaran 10 tahun RM84,000, anda
buat full settlement, bank islamik akan tolak RM 84,000 dari harga
jualan RM 250,944. Baki hutang sepatutnya RM 166,944. Tetapi oleh
kerana anda selesaikan pinjaman awal, maka bank islamik minta bayaran
RM 86,655 sahaja lah. Lagi RM 80,289 kira diskaunlah, rebet ibra’ dari
bank islamik. Banyak tuh RM80,000 diskaun, mana nak dapat? Kan bank
islamik bermurah hati.

Padahal, nilainya sama sahaja dengan full settlement loan konvensional.
Tapi diwar-warkan seolah olah Bank Islam sangat bermurah hati bagi
diskaun RM80,000. Sedangkan dari sudut teknikal, apabila anda
selesaikan pinjaman lebih awal, pihak bank TIDAK BERHAK UNTUK TUNTUT
INTEREST / PROFIT untuk baki tempoh pinjaman. Mereka hanya berhak ke
atas tempoh sebelum penyelesaian awal sahaja.

Cuba anda bandingkan sendiri, nilai early settlement dari loan
konvensional dan loan islamik? Yang mana lebih murah? Kadangkala early
settlement dari islamik loan lebih tinggi sedikit dari loan
konvensional kerana mereka kenakan penalti caj yang lebih tinggi. Untuk
kepastian, cuba anda selidik sendiri dan semak betulkan ada diskaun
seperti yang dinyatakan, atau sekadar GIMMICK SAHAJA? Yang menjadi
masalah sekarang, loan islamik tidak memgambil kira bayaran lebih yang
anda lakukan untuk kurangkan profit yang dicaj ke atas loan anda. Ini
berlaku terutamanya dalam pinjaman kereta dan pinjaman peribadi. Selagi
pinjaman tidak dilangsaikan penuh, apa jua bayaran lebih tidak dikira
untuk kurangkan total profit. Ini berbeza dengan loan konvensional di
mana anda boleh bayar lebih untuk kurangkan baki pinjaman anda. Baki
pinjaman berkurangan, interest yang dikenakan juga berkurangan.

Disini juga harus diingat, Bank Islam bukan penjual rumah, kereta atau
barangan kedai. Mereka adalah insititusi yang beri khidmat kewangan dan
khidmat kewangan mereka, banyak datang dari meminjamkan duit pelabur
pelabur mereka kepada orang ramai. Yang kadang-kadang menjadi masalah,
mereka mengenakan profit yang terlalu tinggi dari modal asal barang
tersebut. Apabila si penjual mengenakan profit yang terlalu tinggi, ia
mirip riba juga, iaitu riba al-Fadl. Ada dalil dari Quran yang
menyatakan, adalah haram bagi seseorang yang mengenakan riba (bayaran
lebih) berlipat ganda.

Harus diingat juga, sistem ekonomi Islam bukan dibina dengan niat untuk
membuat keuntungan semaksima yang boleh seperti sistem kapitalis.
Ekonomi Islam mempunyai etika jual-belinya sendiri yang perlu kita
patuhi dan etika ini menyarankan kita berbuat baik sesama orang lain,
bukan menzalimi mereka.

Tahukah kita ada beberapa sistem dalam Bank Islam ditiru dari bank
konvensional. Contohnya, pinjaman kereta dan pinjaman peribadi. Mereka
kata pinjaman Bank Islam bukan terjemahan dari pinjaman konvensional,
tetapi jika kita selidik, kita akan dapati ianya di ‘copy’ bulat-bulat
produk konvensional.

Bagaiman ia terjadi?

Ambil contoh pinjaman peribadi di sebuah bank A. Pinjaman ditawarkan
pada 5.6% setahun sahaja untuk tempoh 5 tahun. Pinjam RM10,000, sebulan
bayar RM 213 sahaja selama 60 bulan. Kononnya cukup murah 5.6%! Ramai
orang tak tahu, 5.6% setahun itu bukanlah kadar sebenar pinjaman.
Sebaliknya ianya adalah kadar nominal sahaja. Dalam erti kata lain,
kadar pada nama sahaja. Pinjaman islamik meniru sahaja format pinjaman
peribadi konvensional, yang gemar publishkan kadar nominal, dan
bukannya kadar sebenar.Kadar sebenar untuk pinjaman tersebut, perlu
anda rujuk mengikut kadar APR (Annual Percentage Rate) dalam loan
agreement anda. Itulah kadar sebenar pinjaman anda dan ia dinyatakan
pada kadar 10.2% setahun.

Itulah, kadang-kadang kita pun tak tahu mengapa orang-orang Bank Islam
tidak berterus terang dalam hal ini. Mereka ni tidak tahu ke atau
mereka menganggap orang-orang awam tidak tahu apa-apa?

Pinjaman kereta adalah satu lagi masalah Bank Islam. Ramai
penarik-penarik kereta ala samsing berlambak mencari senarai nama
peminjam yang lambat bayar ansuran. Mengapa badan yang berasakan Islam
boleh mengupah samseng tarik kereta, untuk mengugut peminjam peminjam
yang bermasalah?. Bila kereta dilelong, harga kereta jauh lebih rendah
dari harga jualan pinjaman kereta. Si peminjam, sudahlah kena caj upah
tarik kereta yang mahal, kemudian setelah kereta dilelong pun, masih
menanggung hutang yang tidak habis sebab takde rebet. Berterusanlah si
peminjam kena blacklist, menanggung hutang pinjaman kereta walaupun
kereta sudah dilelong. Tetapi sebelum buat pinjaman kereta ini, cukup
manis kata-kata mereka - pinjaman islamik yang telus dilakukan dengan
akad sewa beli. Bila anda membeli kereta dengan skim pinjaman islamik
mereka, anda umpama menyewa kereta dari mereka. Orang sewa kereta,
kalau dah pulangkan, tidak perlu bayar sewa lagi. Tapi peminjam yang
kereta sudah dilelong pun, masih kena blacklist dan tanggung hutang
kadang-kadang sampai mati.

Artikal ini bukan hendak menjatuhkan Islam. Hanya sekadar hendak
memberi sedikit penerangan supaya sistem yang sedia ada boleh
dibaikpulih dan lebih berwajah Islam. Tidak guna menggunakan nama Islam
tetapi sistem masih jahlliah dan penuh kezaliman. Biarlah Bank Islam
didirikan atas dasar ingin membantu memajukan umah bukan untuk menindas
ummah. Sampailah masanya, kerajaan harus bertindak membersihkan sistem
Bank Islam atau sistem kewangan Islam. Apatah lagi dengan rekod Bank
Islam yang telah mengalami kerugian. Mungkin, jika tidak diubah, orang
Islam sendiri tidak akan dapat melihat kemuliaan dan kesucian Islam
apatah lagi orang-orang bukan Islam.. Sejarah telah banyak membuktikan
bahawa dari tangan orang Islam sendiri yang banyak menjatuhkan Islam.

walhualamm

sumber : http://www.terjah.com

Artikel berkaitan

Comments

2 Responses to “Bank Islam Menindas?”

  1. Farah on June 19th, 2008 4:18 pm

    Mahal & Murah Antara Bank Islam &

    Konvensional : Satu Perbandingan Yang Silap

    ( Bahagian yang dikemaskini berwarna hijau pada 4 Sept 07)

    Zaharuddin Abd Rahman

    http://www.zaharuddin.net

    ( Sebahagian dari tulisan ini adalah petikan dari buku Perbankan dan Kewangan Islam saya yang sedang dalam proses percetakan, dijangka akan terbit sekitar bulan Oktober 2007)

    Kerap kali kita mendengar hiruk pikuk orang Islam membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank-bank islam dan kadar riba haram (interest) yang dikenakan oleh perbankan konvensional.

    Ikhlas saya katakan ia adalah satu perbandingan yang amat tidak benar dan tidak wajar. Seorang lelaki berkata :

    “Saya rasa kepimpinan George Bush ada persamaan dengan Nabi Muhammad dari sudut penguasaan ahlinya”

    Apa perasaan anda bila dibandingkan Nabi Muhammad s.a.w, seorang Rasul dan kekasih Allah dengan seorang manusia jahat seperti George Bush ?. Bagi yang sensitif perbandingan itu tidak wajar sama sekali dari sudut spiritual dan fizikal. Bagaimanapun, bagi yang sudah hampir mati spiritualnya, perbandingan itu dilihat wajar dan adil.

    Tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank Konvesnional adalah ternyata silap. Iaitu dari sudut :-

    1) Spiritual ; kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram.

    2) Fizikal ; kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza. Sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dan kadar interest yang dikenakan oleh konvensional.

    Selain itu, kadar harga juga berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pinjaman / pembiayaan yang dipohon (kadar bagi pinjaman 90 peratus adalah berbeza dari pinjaman 50 peratus dan 70 peratus), tempoh jangka pembiayaan dan banyak lagi. Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu sebelum ia dibuat. Perbandingan yang dibuat secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.

    Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah dari dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat sama sekali :-

    Pertama: Perbandingan Kiraan Yang Silap

    Orang ramai tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5 peratus (tahun ketiga sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu.

    Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta ditolak dengan 0.25 peratus sebagai contoh.

    Gambar : Kadar Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate) 1991 - 2006

    Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10 peratus seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam memberikan rebate (ibra’) apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini daripada 6 peratus sehingga 6.75 peratus. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

    Ada pihak yang mendakwa kadar BLR sekiranya naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan. Jika anda melihat statistik di atas, kadar BLR melebihi 8 peratus bermula tahun 1995 sehingga 1998. Ini bermakna 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi. Ia mungkin mampu ditanggung oleh orang yang berada, tetapi tidak bagi orang yang sederhana dan mempunyai gaji yang sekadar cukup makan setiap bulan.

    Perlu diingat juga, jika dalam tempoh tersebut anda tidak boleh membayar, anda akan dikenakan penalti yang tinggi oleh Bank Konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah menggunung. Tatkala itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberikan manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti membuang duit di dalam sungai kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda. Akan didedahkan selepas ini mengapa ia berlaku.

    Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang tidak tepat dan tidak logik untuk diperbandingkan. Cuba lihat bagaimaan perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua buah bank berikut :-

    Pembiayaan Rumah (Bank Islam Malaysia Berhad [1] )
    Pinjaman Rumah ( Konvensional )

    Public Bank [2]

    Tahun Pertama : 2 %
    Tahun Pertama : BLR - 2.00% p.a. = ( 4.75 % [3])

    Tahun Kedua : 4 %
    Tahun Kedua : BLR - 2.00% p.a.

    Tahun Ke-3 ke 10 : 7 %
    Tahun Ketiga : BLR - 2.00% p.a

    Tahun seterusnya : BLR - 1.60% p.a.

    Jika anda dapat melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin anda boleh mengetahui yang mana satu lebih murah? Memang benar bank Islam menetapkan dari awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajiban dalam Syariah, kerana itu seseorang menyangka Bank Islam lebih mahal kerana menjual sebuah rumah berharga asal RM130 000 dengan harga RM260 000. Sedangkan, pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai. Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam seperti :-

    “Saya jual sofa ini kepada anda dengan harga bergantung kepada BLR. Minggu pertama BLR - 4 peratus, minggu kedua BLR - 3 peratus dan lain-lain”

    Transaksi jualan aset sebegini adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama silam dan terkini. Tahap haramnya bertambah tinggi apabila sebuah pinjaman dengan riba yang tidak diketahui pula jumlah bayaran semula yang dikenakan tatkala pinjaman dibuat. Ia adalah riba dan gharar.

    Yang jelas dalam hal di atas, perbandingan antara harga yang diletakkan oleh Bank Islam dan bank konvensional tidak boleh dibuat lagi kerana jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar kepada bank konvensional tidak akan dapat diketahui sehingga tempoh pinjaman anda tamat.

    Perbandingan ini menjadi salah kerana Bank konvensional bergantung sepenuhnya kepada kadar BLR yang berubah-ubah. Bagaimana anda boleh membandingkan benda yang tiada dengan yang sudah ada. ? Kecuali jika individu tersebut tidak mempunyai pengetahuan tentang kewangan. Malangnya, kebanyakan umat Islam di Malaysia kelihatan berfikiran jangka pendek, mereka hanya melihat pembayaran di hadapan mata mereka tanpa melihat jauh ke hadapan berbelas tahun lagi. Ini menyebabkan mereka sering terperangkap dalam perbandingan yang silap. [4]

    Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar interest bagi Public Bank berhad ( berdasarkan contoh di atas) adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75 peratus, anda telah tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya.

    Kadar tetap di Bank Konvensional ?

    Sebahagian individu yang tidak memahami konsep kiraan ini juga cuba mendabik dada sambil mendakwa kononnya terdapat bank-bank konvensional yang dapat menawarkan kadar tetap yang jauh lebih rendah dari bank-bank Islam kononnya.

    Ia juga sebenarnya perbandingan yang tidak sah dan tidak betul. Sebagai contoh dikatakan CIMB Konvensioanl memberikan fixed rate 5.25 peratus untuk pinjaman perumahan. Bagaimanapun jika anda membuka web CIMB Bank berhad [5], ia tercatat seperti berikut :-

    3 years Fixed Rate
    1st - 3rd year : 5.25%
    Thereafter : BLR - 1.50%

    5 years Fixed Rate
    1st - 5th year : 5.50%
    Thereafter : BLR - 1.50%

    Bagaimana mungkin anda membandingkan antara carta kadar Bank Islam Malaysia berhad tadi dengan kadar CIMB ini . Ini kerana kadar fixed yang ditawarkan hanyalah antara 3 dan 5 tahun. Adapun, kadar yang ditawarkan oleh bank Islam mulai tahun ketiga hingga ke atas sehingga ke tahun ke-10 adalah hanya 7.0 peratus.

    Demikian juga halnya dengan dakwaan CITIBANK menawarkan kadar tetap begitu rendah iaitu 5.70 %, jauh lebih murah dari Bank-bank Islam. Bagaimanapun, anda sekali lagi tertipu jika mengganggap ia adalah kadar tetap bagi 30 tahun. Cuba anda lihat apa yang dicatatkan di web CITIBANK berikut [6] :-

    * Terms and conditions apply. Loan Approval is subject to credit review. 5.70% fixed rate (no BLR) is for the first 3 years. Promotion is applicable for completed residential properties and for a limited time only. Preferred insurance Partner - ING

    Jika anda faham, sudah tentu kadar yang ditawarkan oleh bank-bank islam lebih hebat.

    Pinjaman riba kadar tetap oleh syarikat Insuran

    Tadi individu itu sibuk ingin membandingkan dengan bank, kini mereka cuba pula membandingkan tawaran dua buah syarikat Insuran yang menawarkan pinjaman perumahan dengan kadar tetap serendah 5.99 peratus selama 30 tahun dengan bank Islam ?. Ia juga bukan perbandingan yang betul kerana :-

    1) Ia adalah sebuah syarikat insuran. Perbandingan sebuah bank dengan syarikat insuran adalah tidak tepat kerana kedua-dua jenis syarikat (bank dan syarikat insuran) mempunyai perbezaaan yang terlalu banyak dalam hal operasi, kiraan risiko, ‘liquidity’ dan ‘liability’. Ini menyebabkan perbandingan anda tersasar jauh. ia ibarat membandingkan pinjaman bank konvensional dengan pinjaman oleh rakan anda (bukan sebuah bank). Ia adalah dari dua sektor yang berbeza. Sebagaimana juga membandingkan pinjaman PTPTN yang serendah 3 peratus dengan pinjaman pendidikan dan peribadi yang ditawar oleh bank pada kadar 8 peratus.

    Malahan membandingkan pinjaman perumahan yang ditawar oleh bank konvensional dengan pinjaman perumahan oleh syarikat insuran juga tidak tepat. Ia kelas dan sektor yang berbeza.

    2) Syarikat Insuran itu juga mewajibkan untuk mengambil insuran dengannya. Ini menyebabkan terdapat kos tambahan yang tidak termasuk dalam 5.99 peratus, tetapi termasuk dalam kiraan kontrak insuran pula. Majlis Fiqh Dunia telah memutuskan sebanyak 3 kali bahawa insuran konvensional adalah haram. bermakna sesiapa yng mengambil produk pinjaman perumahan dari syarikat insuran ini, terlibat dengan ‘double’ riba.

    3) Syarikat itu juga mengamalkan kiraan penalti secara ‘compounding’ yang masih akan membawa isu yang sama, iaitu pokok pinjaman akan bertambah sekiranya terdapat kegagalan pembayaran pinjaman.

    4) Syarikat Insuran dan bank-bank konvensional mengenakan ‘commitment fee’ iaitu yuran khas jika anda ingin menamatkan pinjaman anda dalam tempoh 5 tahun pertama. Ini menyebabkan tidak boleh menukar ke bank lain dalam tempoh tersebut kecuali membayar denda yang dinamakan ‘yuran komitmen’.

    Di bank-bank Islam, Majlis Syariah dunia tidak membenarkan yuran komitemen ini dilaksanakan. Anda bebas untuk menukar pembiayaan ke bank lain tanpa sebarang denda. Demikian pelaksanaan oleh Hong Leong Islamic bank, RHB Islamic Bank dan Asian Finance Bank, Kuwait Finance house dan beberapa yang lain.

    Hasilnya, bank Islam masih tetap lebih hebat kerana halal dan terutamanya terdapat bank Islam yang menawarkan konsep fixed rate yang variable. Ia seperti penjelasan di bawah ini.

    Kedua : Kadar Tetap Bank Islam Boleh Berubah Menjadi Murah

    Satu fakta yang sering gagal difahami orang awam adalah terdapatnya beberapa buah bank Islam yang menawarkan kadar tetap pada 10 peratus, tetapi bayaran bulanannya anda bukannya 10 peratus, tetapi dilihat kepada Base Financing Rate (BFR) semasa, jika BFR adalah 6.0 peratus, maka pihak Bank Islam akan memberikan diskaun pada bulan tersebut sebanyak 4 peratus. Lihat gambar di bawah dan fahamkan. Bank konvensional tiada kemudahan seperti ini.

    Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun. Kaedah ini telah disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking dan beberapa bank Islam yang lain.

    Gambar : Produk fixed dengan kemudahan variable oleh Bank Islam. EPR : Effective Profit Rate . CPR : Contracted Profit Rate

    Justeru jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa. Ini kerana walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa. Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank islam adalah terikat pada kadar 10 peratus sahaja. Ini tidak berlaku di bank konvensional.

    Selain itu, anda juga tidak boleh membandingkannya secara umum kerana setiap bank mempunyai kadar yang lebih pelbagai lagi bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman. Jika anda hanya meminjam 70 peratus dari harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank-bank Islam. Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.

    Isu Rebate

    Jika terdapat individu yang mendakwa rebate yang ditawarkan oleh bank islam hanya gimik, ia bererti individu itu sememangnya tidak memahami langsung operasi bank islam dan tidak mempunyai ilmu Syariah.

    Di dalam Islam tidak dibenarkan menjual sesuatu barangan dengan dua harga yang berbeza, sebagai contoh :-

    “saya jual rumah ini kepada anda dengan harga RM150 000 atau RM 200 000″

    Jika bank Islam menjadikan rebate clause ini sebagai obligatory statement atau kewajiban ke atas pelanggan, ia akan menjadi gharar dari sudut Islam dan diharamkan. Disebabkan hal itu, rebate yang ditawarkan oleh Bank Islam tidak boleh memasukkan rebate sebagai bank’s obligation (kewajiban bank), ia ditegah oleh Majlis Penasihat Syariah bank-bank seluruh dunia. Ia bukan gimik tetapi adalah bagi menepati hukum Syariah.

    Ketiga : Caj Penalti Menindas

    Orang ramai juga kelihatan amat tidak faham perbezaan kesan caj penalti yang dikenakan oleh bank konvensional dan bank Islam.

    Bank konvensional mengenakan caj penalti jika lewat membayar secara compounding atau terkumpul. Ertinya, sebagai contoh, pinjaman A kepada bank sebanyak RM10 000 dan dikenakan bunga atau interest riba sebanyak 5 peratus. Bermakna A perlu membayar sebanyak RM10 500 kepada bank itu jika anda membayar tepat pada waktunya. Bagaimanapun A tidak akan mampu pasti anda boleh membayar pada masanya secara yakin, kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

    Katalah setelah membayar beberapa lama, baki pinjaman kini hanya RM3 000 sahaja. Tiba-tiba, A mengalami kesusahan lalu gagal membayar pada waktunya. Ketika itu bank konvensional akan mengenakan 3 peratus caj penalti iaitu RM 90 sebulan. Ia sangat mahal berbanding Bank islam yang hanya mengenakan maksimum 1 peratus atau RM 30 sebulan.

    Lebih dahsyat dari itu di bank konvensional jumlah pokok yang berbaki RM3 000 itu akan bertambah dicampur RM 90 sebulan bagi kelewatan bulan pertama. Tatkala itu, jumlah pokok menjadi RM3 090. Manakala jumlah pembayaran semula pula akan dikira adalah 5 peratus x (RM3 090 ) dan bukan lagi 5 peratus daripada RM3 000. Justeru ini akan menaikkan lagi hutang A, bayangkan jika anda terlewat beberapa bulan.

    Hal seperti ini TIDAK AKAN berlaku di bank islam kerana tiada kadar compounding boleh dikenakan oleh bank islam, di mana jika terdapat kelewatan pembayaran, hanya caj 1 peratus dikenakan dan ia tidak dimasukkan di dalam jumlah pembiayaan, malah ia juga akan disalurkan terus oleh bank Islam kepada faqir miskin.

    Ini perlu difahami oleh orang ramai sebelum tergesa-gesa memahami bank konvensional lebih murah. Faktor penalti ini boleh dianggap sebagai antara penyebab kebanyakan peniaga bukan Islam terutamanya dari kaum Tionghua suka memohon pembiayaan dari bank islam. Mereka tahu, adakalanya mereka memang terpaksa tidak membayar bayaran ansuran beberapa ketika disebabkan keperluan tunai untuk memperkembangkan bisnes dan sebab-sebab lain.

    Malah apabila dilihat kepada kadar perbiayaan yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar pembiayaan syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

    a) Kadar mengurus minima (cost of fund) bank Islam itu.

    b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.

    c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

    Keadaan ini menyebabkan perbandingan tepat ‘apple to apple’ adalah tersangat sukar.

    Ulama Bank Islam Menipu Jual Agama?

    Sebagai akhirnya, jika anda masih mengatakan bank-bank Islam ‘menipu’, zalim dan semua ustaz dan ulama yang megesahkan adalah menipu, menjual agamanya dan apa-apa yang lain. Ia terpulang kepada anda jika anda rasa benar-benar berilmu tentang Fiqh Muamalat dan kewangan Islam.

    Tetapi anda perlu sedar, siapakah individu yang bertanggung jawab mengesahkan tindakan dan operasi perbankan Islam di Malaysia dan seluruh dunia sekarang ini. Mereka adalah Majlis Fiqh Antarabangsa, Majlis Fatwa Eropah, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Fatwa Brunei, Majlis Fatwa Saudi, para ulama timur tengah dan ramai lagi. Semua mereka tahu apa yang saya katakan di atas.

    Jika benar-benar bank Islam di seluruh dunia tipu, sudah tentu kumpulan ulama ini akan bangkit menentang. Tapi itu tiada berlaku, malah semuanya menyokong penuh dan membantu perkembangan bank-bank Islam.

    Secara spesifik pula antara ulama pakar kewangan Islam yang bertanggung jawab menyelia operasi bank-bank Islam di Malaysia (dahulu dan sekarang) seperti :-

    Sila buka di sini untuk senarai ahli Majlis Syariah BNM

    1) Prof. Dato’ Dr Haron Din ( ex Majlis Syariah BNM & Suruhanjaya Sekuriti),

    2) Prof Adjunt Dr Mohd Daud Bakar ( Pengerusi, Majlis Syariah Bank Negara Malaysia)

    3) Prof. Madya Dr. Engku Rabiah ( Majlis Syariah BNM )

    4) Dr Aznan Hasan ( Majlis Syariah BNM )

    5) Dato’ Ismail Kamus ( Ex Majlis Syariah EON Islamic banking )

    6) Syeikh Nizam Ya’kubi (Ulama Bahrain, juga kelulusan ekonomi dari USA & keluaran pondok Mekah, antara guru Syeikh Yasin Fadani, Majlis Syariah CIMB Islamic Bank Malaysia)

    7) Syeikh Dato Hashim Yahya ( Majlis Syariah BNM & Ex Mufti WP)

    8) Dato Harussani Zakaria ( Majlis Syariah Maybank Islamic Banking & Mufti Perak)

    9) Prof. Ust Saleh Ahmad ( YDP Persatuan Ulama Malaysia, Majlis Syariah Bank Muamalat Malaysia)

    10) Dato’ Hasan Ahmad ( Mufti Penang, Majlis Syariah BNM)

    11) Prof. Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid ( Majlis Syariah, Public Islamic Banking)

    12) Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ( Majlis Syariah Asian Finance Bank Malaysia, ulama besar Syariah di dunia)

    dan ramai lagi, termasuklah Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang redha dengan bank Islam di Malaysia. Jika tidak, mengapa beliau mengarahkan kerajaan Kelantan menyimpan di bank Islam.

    Jika anda katakan bank Islam yang ada di depan mata anda hari ini adalah menipu atas nama ‘Islam’, zalim serta menindas. Ini bermakna anda juga mengatakan semua nama-nama dan ulama besar yang terlibat telah membiarkan penindasan, kezaliman dan penipuan dilakukan oleh perbankan Islam kepada orang ramai. Benarkah mereka semua pendokong dan pengesah penipuan oleh bank Islam dan menjual agama mereka. Sebenarnya siapa yang menipu?. dan siapa sebenarnya yang JAHIL?

    Jika ada ahli parti PAS ingin mengatakan bank Islam yang ada ini adalah ala UMNO, maka Dr Haron Din (Timb Mursyidul ‘Am PAS) adalah salah seorang yang mengesahkannya dan beliau merupakan ahli Syariah RHB Islamic Bank banking begitu lama sekali. Jika anda ingin mengatakan bank-bank Islam yang ada ini ala PAS, ia juga tidak benar kerana terlalu ramai ulama yang mempunyai jawatan rasmi kerajaan bersama-sama meluluskannya.

    Sebenarnya, bank-bank Islam di dunia dan di Malaysia bukanlah agenda mana-mana politik kepartian, tetapi ia adalah agenda Islam. Malah model perbankan Islam di dunia hari ini adalah sama dalam banyak sudut.

    Mereka adalah individu utama yang bertanggung jawab di Malaysia bagi memastikan operasi bank Islam adalah menurut hukum Syariah.

    Sebenarnya, individu yang cuba mempertikaikan bank islam ini adalah sebahagian dari gerakan pihak Islam Liberal di Malaysia, mereka sentiasa cuba menjatuhkan kredibiliti ulama di seluruh dunia dengan harapan termasuk Malaysia, perjuangan mereka adalah supaya manusia akan menjadi lebih bebas seperti beruk di hutan tanpa ikatan dari hukum itu dan ini. Malangnya kerana ketidakfahaman umat Islam, penyokong-penyokongnya lahir bukan sekadar dari orang awam, tetapi juga penyokong gerakan islam di Malaysia. Saya cukup simpati dengan mereka, di permainkan dengan begitu mudah oleh puak Islam Liberal. Padahal gerakan Islam inilah yang membantah habis-habisan penubuhan IFC dan Islam Liberal, kali ini kelihatan ahli-ahli mereka pula ghairah menyokong idea Islam Liberal sehingga menyiarkan tulisan pihak Islam Liberal ini di web popular ahli-ahli mereka dengan bangganya.

    Adakah anda lebih percaya permainan kata-kata seorang ejen insuran Riba (yang menyebarkan artikel kononnya bank islam menipu, ia juga adalah dari pihak gerakan Islam Liberal) dari senarai ulama di atas?

    Terpulang kepada anda siapa yang ingin anda jadikan rujukan untuk urusan akhirat anda.

    Sekian, wallahul musta’an.

    Zaharuddin Abd Rahman

    http://www.zaharuddin.net

    3 Sept 2007

    21 Syaaban 1428 H
    http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=587&Itemid=101

  2. Nazarin on June 16th, 2009 4:06 am

    Salam,
    Cik Farah, saya rasa ini tanggungjawab bank islamik untuk terangkan kpd pelanggan dgn lebih berhemah. setakat pengamatan dan pengalaman saya sendiri, pegawai/ejen bank Islamik iaitu Bank Islam kurang pengalaman atau berat mulut untuk melayan pertanyaan pelanggan berpotensi. mungkin tak cukup ilmu atau tak cukup belajar…jadi itu akan menyebabkan persepsi bank islamik tidak adil/ cuba berselindung ini timbullah.alahai, cubalah berurusan di kaunter Bank Islam, tahulah awak macammana Islamiknya kakitangan Bank Islam (at least the ones at the counters..) Di Kuantan ni, saya beri salam pun taknak jawab…takpun jawab dalam hati agaknya….huhu.

Leave a Reply





This blog uses the CommentLuv plugin which will try and parse your sites feed and display a link to your last post, please be patient while it tries to find it for you.