Kisah seorang gadis cina
Posted on April 25, 2008
Filed Under Keluarga |
Seorang gadis Cina bernama Li-Li menikah dan tinggal bersama suami dan
ibu mertua. Semenjak itu, Li-Li menyedari bahwa dia tidak dapat
menyesuaikan diri dengan ibu mertuanya dalam semua perkara. Sikap dan
prinsip mereka berbeza dan Li-Li sangat marah dan tidak begitu
menyenangi ibu mertuanya. Li-Li juga sering dikritik ibu mertuanya.
Hari demi hari, minggu demi minggu, Li-Li dan ibu mertua tidak pernah
berhenti berleter dan bertengkar. Keadaan menjadi bertambah buruk,
kerana berdasarkan tradisi Cina, Li-Li harus taat kepada setiap
permintaan ibu mertua.
Semua ketegangan dan pertengkaran di dalam rumah menyebabkan si suami
yang miskin itu berada di dalam tekanan. Akhirnya, Li-Li tidak tahan
lagi dengan sikap panas baran dan dominasi ibu mertuanya, dan dia
memutuskan untuk melakukan sesuatu.
Li-Li pergi menemui teman baik ayahnya, Mr. Huang, yang menjual herba
ubatan Cina. Li-Li menceritakan segala masalah yang dialaminya dan
meminta Mr.Huang memberinya sejumlah racun supaya masalahnya dapat
diselesaikan.
Mr. Huang berfikir sejenak dan tersenyum dan akhirnya berkata, “Li-Li,
saya akan menolong kamu, tapi kamu harus dengar dengan teliti dan
melakukan apa yang saya suruh”
Li-Li menjawab, “Baik, saya akan melakukan apa saja yang pakcik minta.”
Mr. Huang mencari-cari sesuatu di dalam sebuah bilik dan kembali beberapa minit kemudian dengan membawa sejumlah herba.
Dia memberitahu Li-Li, “Kamu tidak boleh menggunakan racun yang
bertindak-balas cepat untuk membunuh ibu mertuamu, kerana nanti akan
menyebabkan orang berasa curiga. Oleh sebab itu saya memberi kamu
sejumlah herba yang secara perlahan akan meracuni tubuh ibu mertuamu.
Setiap hari masakkan daging atau ayam dan kemudian campurkan sedikit
herba ini. Untuk memastikan bahawa tidak ada orang yang mencurigaimu,
kamu harus berhati-hati dan berbuat baik dengan ibu mertuamu. Jadikan
dia sebagai sahabat. Jangan berdebat dengannya, taati dia, dan layani
dia seumpama seorang ratu.”
Li-Li berasa sangat senang. Dia kembali ke rumah dan mula merancang pembunuhan ibu mertuanya.
Minggu demi minggu berlalu, bulan berganti bulan, dan setiap hari,
Li-Li memasakkan ibu mertuanya dengan masakan yang dibuat secara
khusus. Li-Li ingat segala pesanan Mr. Huang. Untuk mengelakkan
sebarang kecurigaan, Li-Li berhati-hati mengawal emosinya, mentaati ibu
mertuanya, melayan ibu mertuanya seperti ibunya sendiri dan bersahabat.
Setelah enam bulan berlalu, suasana rumah berubah menjadi ceria. Li-Li
telah belajar mengawal emosinya dengan baik sehingga hampir tidak
pernah meledak dalam amarah atau kekecewaan. Dia tidak bertengkar
sekalipun dengan ibu mertuanya, yang sekarang kelihatan jauh lebih baik
dan mudah bersahabat.
Sikap ibu mertua terhadap Li-Li juga berubah. Dia mula menyayangi Li-Li
seperti anaknya sendiri. Dia semakin senang memberitahu teman-teman dan
kenalannya bahawa Li-Li adalah menantu terbaik yang pernah ditemuinya.
Li-Li dan ibu mertuanya sekarang sangat rapat di antara satu sama lain.
Suami Li-Li turut gembira melihat perubahan yang berlaku. Suatu hari,
Li-Li datang menemui Mr. Huang dan minta pertolongan lagi. Dia berkata,
“Mr. Huang, tolonglah saya untuk mencegah racun itu membunuh ibu mertua
saya. Dia telah berubah menjadi seorang wanita yang sangat baik dan
saya mengasihinya seperti ibu saya sendiri. Saya tidak ingin dia mati
kerana racun yang saya berikan.”
Mr. Huang tersenyum dan mengangkat kepalanya. “Li-Li, tidak usah
bimbang. Saya tidak pernah memberimu racun. Herba yang saya berikan
dulu adalah vitamin untuk meningkatkan kesihatannya. Satu-satunya racun
yang pernah ada ialah di dalam fikiran dan sikapmu terhadapnya, tapi
semuanya sudah lenyap dibersihkan oleh kasih sayang dan perhatian yang
kamu berikan padanya.”
MORAL:
Pernahkah anda menyedari bahawa sebagaimana perlakuanmu terhadap orang
lain akan sama dengan apa yang akan mereka lakukan terhadap kita?
“Pepatah China berkata: Orang yang mengasihi orang lain akan dikasihi”
sumber : andalas





Leave a Reply