Ingin menjadi lelaki digilai wanita walaupun perut boroi..klik sini
Powered by MaxBlogPress  

Raja Gula kekal terkaya

Posted on May 23, 2008
Filed Under isu semasa |



KUALA
LUMPUR: Nilai kekayaan terkumpul 40 individu paling kaya di Malaysia
tahun ini ialah AS$46 bilion (kira-kira RM150 bilion), meningkat AS$3
bilion (kira-kira RM9.8 bilion) daripada tahun lalu.

Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu berkenaan adalah
kira-kira 30 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
negara tahun lalu sebanyak RM503.1 bilion dan lebih tinggi daripada
hasil Kerajaan Persekutuan tahun lalu yang berjumlah RM141.8 bilion.

Mengikut laporan terbaru majalah Forbes Asia, bilangan
rakyat negara ini yang memiliki kekayaan lebih AS$1 bilion juga
meningkat kepada 10 daripada sembilan tahun lalu.



Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan AS$10 bilion.

‘Raja Gula’ berusia 84 tahun itu meningkatkan nilai
kekayaannya sebanyak AS$2.4 bilion tahun ini, menerusi pemilikan dalam
pelbagai bidang perniagaan, seperti hartanah di Hong Kong, media dan
paling utama penguasaannya dalam gergasi minyak sawit, Wilmar
International.

Ini diikuti oleh Ananda Krishnan yang menguasai Maxis
Communications Bhd dengan nilai kekayaan AS$7.2 bilion, merosot AS$200
juta daripada tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif IOI Group, Tan Sri Lee Shin Cheng pula menduduki
tangga ketiga daripada keempat tahun lalu dengan nilai kekayaannya
meningkat AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion.


Pendatang baru dalam senarai rakyat negara ini memiliki
kekayaan lebih AS$1 bilion ialah Tan Sri Vincent Tan, dengan
kekayaannya meningkat hampir AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion apabila
harga saham Berjaya Corp yang dikuasainya melonjak hampir tiga kali
ganda dalam tempoh 12 bulan lalu.

Sementara itu, lapan ahli perniagaan Melayu turut berada
dalam senarai ‘40 Paling Kaya di Malaysia’, didahului oleh Tan Sri Syed
Mokhtar AlBukhary. Beliau berada di tempat kelapan senarai itu dengan
nilai kekayaan AS$1.8 bilion.

Turut berada dalam senarai itu ialah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri
Azman Hashim (AS$700 juta) yang berada di tempat ke-11; Pengerusi
Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir (AS$285 juta,
tempat ke-20); Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin
Meranun (AS$280 juta, tempat ke-21); Pengerusi Naim Cendera Holdings
Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi (AS$180 juta, tempat ke-30) dan Pengarah
Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad (AS$155 juta, tempat ke-34).

Individu Melayu lain yang berada dalam senarai itu ialah Raja
Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah (AS$150 juta, tempat ke-35) yang
mempunyai pegangan saham ketara dalam Gamuda Bhd dan Ketua Eksekutif
CIMB Group, Datuk Nazir Razak (AS$100 juta, tempat ke-40).

Forbes Asia dalam kenyataan dikeluarkan semalam berkata,
pengiraan nilai kekayaan individu itu dibuat berdasarkan harga saham
syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 9 Mei
lalu.

Bagi pemilikan aset yang tidak disenaraikan pula, ia
menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information
Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya
jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

sumber: berita harian online

Artikel berkaitan

Comments

Leave a Reply





This blog uses the CommentLuv plugin which will try and parse your sites feed and display a link to your last post, please be patient while it tries to find it for you.