Bayi gempa ditemui hidup
Posted on May 18, 2008
Filed Under isu semasa |
|
|
BAYI AJAIB… Bayi
perempuan berusia 13 hari dikendung oleh anggota penyelamat selepas dia, ibunya dan 161 mangsa gempa bumi lain berjaya dikeluarkan selepas enam hari tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Yingxiu di daerah Wenchuan, barat laut Wilayah Sichuan, China, semalam. |
BEICHUAN 17 Mei – Satu keajaiban berlaku apabila seorang bayi
perempuan berusia 13 hari ditemui hidup setelah dikeluarkan dari
runtuhan bangunan di Xingxiu, daerah Wenchuan, semalam.
Ibu bayi tersebut turut diselamatkan. Mereka merupakan antara 163
mangsa gempa yang berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamat
semalam.
Turut berjaya diselamatkan dalam operasi yang masuk hari keenam itu
adalah murid perempuan berusia 10 tahun dan dua warga asing dari Jerman
dan Amerika Syarikat.
Pasukan penyelamat turut berjaya menyelamatkan berpuluh-puluh murid yang terperangkap di sebuah sekolah rendah, juga di Xingxiu.
Ekoran penemuan banyak mangsa yang masih hidup, Presiden China, Hu
Jiantao menggesa pasukan penyelamat supaya bertindak lebih pantas bagi
menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap.
“Walaupun, peluang terbaik untuk menyelamatkan mangsa, iaitu 72 jam
selepas berlaku gempa, usaha menyelamatkan mangsa yang masih
terperangkap tetap menjadi keutamaan kita,†kata Jintao kepada
mangsa-mangsa yang terselamat, iaitu seminggu selepas China meraikan
kejayaan membawa Obor Sukan Olimpik ke Puncak Everest.
Pasukan penyelamat meneruskan gerakan menyelamat, sementara pihak
berkuasa pula menumpukan usaha untuk menyediakan perlindungan dan
makanan kepada berjuta-juta lagi penduduk yang kehilangan tempat
tinggal.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon
pula mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$7 juta (RM22.71 juta).
Angka korban rasmi bencana itu kini meningkat kepada 28,881 orang
berbanding 22,069 orang semalam. Sementara mangsa yang cedera pula
berjumlah 198,347 orang.
Kira-kira 4.8 juta penduduk pula kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, China juga telah melaksanakan pelan kecemasan
kemalangan nuklear dan mengarahkan kakitangannya bersedia menghadapi
keadaan kecemasan, berikutan gempa bumi termasuk yang membabitkan
beberapa tapak simpanan nuklearnya.
Sebelum ini, pemantau nuklear Perancis berkata, beberapa tempat
simpanan nuklear China mengalami kerosakan kecil akibat gempa itu,
tetapi tidak ada sebarang kebocoran dilaporkan.
China dipercayai mempunyai sebuah reaktor penyelidikan, dua tapak
pengeluaran bahan bakar dan dua tapak simpanan senjata atom di wilayah
Sichuan yang terletak antara 60 hingga 145 kilometer dari pusat gempa.
– Agensi ( utusana online)





Leave a Reply