Ingin menjadi lelaki digilai wanita walaupun perut boroi..klik sini
Powered by MaxBlogPress  

Anak Genius itu aset kepada Islam

Posted on February 5, 2008
Filed Under isu semasa |



ANAK GENIUS ITU ASET KEPADA ISLAM

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Begitulah juga keadaannya bila Dia menjadikan anak-anak yang genius di kalangan umat Islam. Tapi adakah umat Islam sendiri menyedari hakikat ini dan adakah pihak-pihak yang berwajib telah melaksanakan strategi yang bermakna lagi berkesan untuk mendidik anak-anak yang genius ini agar benar-benar mendatangkan manfaat kepada Islam? Atas kesedaran ini, saya paparkan sedutan artikel yang diharapkan akan membuka minda kita semua mengenai apakah yang patut kita lakukan untuk memertabatkan Islam dengan lahirnya anak-anak yang bertahap genius:

Di zaman kegemilangan Islam, hal yang sebaliknya telah berlaku. Anak-anak orang kafir telah dapat dididik dan dilatih oleh umat Islam untuk memperjuangkan agama.

Anak-anak orang Monggol misalnya, telah dapat di Islamkan dan mereka kemudiannya telah muncul sebagai pejuang Islam yang berani. Di dalam bala tentera Empayar Turki Uthmaniah pula ada pasukan tentera yang perkasa bernama Janizari. Mereka asalnya anak-anak orang Kristian yang telah kematian ibu bapa dalam peperangan dengan orang-orang Islam.

Ini menunjukkan benih-benih genius yang diberi oleh Allah secara semulajadi dapat digunakan dua hala - untuk membangunkan Islam atau meruntuhkannya.

Rasulullah SAW telah cuba sedaya upaya mengaut seberapa ramai orang-orang genius daripada kelompok musuh untuk berjuang bersama-sama tentera Islam. Baginda berjaya menarik Khalid Ibnul Walid - genius di medan peperangan dan Amru Ibnu Ash - genius di bidang politik dan diplomatik ke pihak Islam.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya : “Manusia itu laksana barang galian dari segi baik dan buruknya, yang baik antara mereka di zaman Jahiliah adalah yang baik juga pada zaman Islam, jika mereka mempunyai pengetahuan.” (Ath-Thayalisi, Ibnu Mani’ dan Al Askari dan Abu Hurairah)

Di zaman kegemilangan Islam anak-anak genius Kristian dihantar ke Sepanyol atau Baghdad untuk menimba ilmu.

Islam pada waktu itu bukan sahaja menguasai tanah-tanah di dunia tetapi turut menguasai akal dan jiwa manusia yang hidup di atasnya.

Pusat pendidikan Islam telah menjadi “jaring” menanam asas-asas tauhid dan kesempurnaan ajaran Islam di dalam apa juga kesempatan yang terbuka. Arkitek-arkitek kristian dan para cendikiawannya datang bernaung di negara-negara Islam untuk melanjutkan pelajaran atau mencari rezeki. Umat Islam telah menjadi tuan di dunia.

Namun kini, segala-galanya telah berubah. Anak-anak orang Islam (yang telah disaring dan disahkan cerdik) telah dihantar ke Amerika dan Eropah untuk menerima ilmu.

Di sana kehidupan mereka dibentuk mengikut cara hidup Barat. Mereka kemudiannya pulang ke tanah air untuk mengembangkan sistem hidup orang-orang kafir dan seterusnya mengekalkan kepentingan ekonomi, politik dan budaya “bapa-bapa angkat” mereka yang berada di Barat.

Fikiran dan jiwa genius Islam ini telah dijajah. Mereka memandang tinggi apa yang ada pada orang-orang Barat dan bermati-matian mempertahankannya jika diserang.

Di zaman kebangkitan Islam kini, “anak-anak didik” penjajah inilah menjadi penentang utamanya.

Umat Islam zaman ini masih ketinggalan dalam usaha melahirkan anak-anak genius. Hampir-hampir tidak ada perancangan yang baik dalam mendirikan perkahwinan. Faktor-faktor perjuangan dan pengaruh Islam tidak dipentingkan. Ramai yang berkahwin atas dasar cinta, dasar harta atau lain-lain alasan yang rendah nilainya. Tidak ada “Grand-master” yang dapat merancang perkahwinan strategi untuk meningkatkan lagi kekuatan jemaah Islam.

Kalau dahulu, di zaman Rasulullah SAW, perkahwinan para sahabat dengan wanita-wanita dari suku kaum yang telah tewas dalam peperangan adalah biasa, tetapi kini perkahwinan yang mempunyai maksud politik seperti itu hampir-hampir tidak kedengaran lagi. Siapakah pemuda Islam yang sanggup dikahwinkan dengan anak ketua suku kaum di pedalaman Sabah atau Sarawak misalnya?. Dan apakah ada anak gadis Islam yang sanggup dikahwinkan dengan ketua orang asli di kawasan-kawasan pedalaman?. Nanti kelak mereka dapat berperanan mengembang dan mempengaruhi masyarakat pendalaman ke arah cara hidup Islam.

Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura telah mendahului pemimpin-pemimpin Islam dalam hal ini.

Padanya untuk melahirkan generasi genius pada masa hadapan, para intelek hendaklah dikahwinkan sesama mereka. Ini menurutnya, adalah penting demi “survival” rakyat Singapura di masa hadapan.

Di Rusia dan Amerika pula, anak-anak yang berpotensi menjadi anak genius diberi kemudahan secukupnya dari segi material dan pelajaran. Membiayai semua keperluan ini dianggap satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Kenapa kita selaku umat Islam masih kabur dalam perkara seperti ini.

Sewaktu ini orang-orang Barat dan komunis menyimpan otak genius tokoh mereka yang telah mati seperti otak kepunyaan Stalin, Lenin, Einstein dan lain-lain lagi. Kononnya menurut mereka mampu dimanfaatkan semula. Ketika yang sama umat Islam masih membiarkan ratusan dan mungkin juga ribuan anak-anak genius yang sedang hidup di Indonesia, Malaysia, Pakistan, Negara-negara Arab, Turki, China dan lain-lain lagi, tidak dimanfaatkan otak mereka bagi merangka grand-design untuk kebangkitan Islam semula.

Mengapa mereka terbiar atau dibiar?. Kerana kita umat Islam kurang menghargai anak-anak genius kita yang berotak genius. Kita tidak sedar bahawa anak-anak genius umpama benih tumbuhan yang baik. Ia memerlukan tanah yang subur dan penjagaan yang rapi untuk tumbuh sebagai sepohon pokok yang rendang dan dapat menghasilkan buah yang baik dan berharga. Anak genius akan menjadi anak yang bodoh jika ia terbiar, tanpa didikan dan pembelajaran yang baik dan terancang.

Inilah yang dikesalkan oleh Malik Ben Nabi, seorang sarjana Islam dengan katanya ;

“Adalah amat mendukacitakan sekali bila kerajaan komunis telah berbelanja besar untuk mengindokrinasikan kanak-kanak dan dunia amnya dengan falsafah Atheist dan Marxist. Sedangkan negara-negara muslim tidak berbuat demikian untuk tujuan Islam.”

Islam sebenarnya kaya dengan jalan-jalan untuk melahirkan anak-anak genius. Kita tidak perlu meminjam kaedah-kaedah orang bukan Islam untuk mewujudkan generasi muda yang bijak, tegas dan berani.

Genius atau tidaknya seseorang bukan diukur oleh kacamata pendidikan sekular. Sijil dan anugerah keintelektualan bukan bererti pemiliknya seorang yang genius.

Menurut Islam, seorang yang genius ialah mereka yang mempunyai kemampuan akal yang luar biasa ke arah merancang, menyusun strategi dan bertindak tepat untuk menegakkan Islam, demi keselamatan hidup di dunia dan di akhirat.

Genius Islam ialah orang yang dapat kekuatan akal hasil mengingati mati untuk lebih gigih berjuang dalam hidup. Sabda Rasulullah SAW maksudnya ; “Orang yang paling cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati dan bersedia dengan bekalan untuk hari selepas mati.” (Ibnu Majah dan Ibnu Abi Dunya)

Itulah dua rahsia kekuatan Islam, iaitu mengingati mati dan berusaha membuat persediaan untuk hari selepas mati. Orang yang sentiasa mengingati mati ia akan dinamik dan berusaha melahirkan kemajuan dan tamadun untuk dipungutnya pahala di akhirat. Kerana ia yakin dan faham, dunia adalah tempat menanam sebanyak-banyak, sementara hasilnya akan dipungut di akhirat. Siapa yang menanam sedikit atau yang menanam yang tidak baik ia akan kerugian di akhirat.

Itulah anak generasi dan tokoh genius Islam mereka yang jiwanya penuh dengan keimanan dan akalnya bercahaya dengan suluhan wahyu dan anggotanya gagah dalam menegakkan “Kalimatullah”. Kita sesungguhnya menunggu anak-anak genius yang mempunyai sifat-sifat itu bagi menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh generasi salafussoleh dahulu.

Ketahuilah anak genius tidak akan lahir begitu sahaja, tapi ia lahir dengan perancangan sejak permulaan perkahwinan, ketika mengandung, setelah lahir dan membesar hinggalah dewasa. Dalam masa itu mereka perlu melalui proses pendidikan terus menerus secara Islam tanpa dicelah dan diganggu oleh elemen-elemen yang membantutkan perkembangan dan pertumbuhan genius dan akhlak mulia.

———————-
Sumber: Ely Hussin
———————-

KESIMPULAN

Amat rugilah umat Islam jika pada satu masa nanti kita dapati seorang anak yang lahir sebagai seorang genius hanya berakhir menjadi ‘orang biasa’. Lebih rugi lagi bila kita dapati dia menjadi penentang Islam, na’uzubillah. Sepatutnya peranan kita sudah jelas tentang anak-anak genius. Jadikan mereka ini ‘anak emas negara’. Susun strategi agar mereka ini tidak disekolahkan di sekolah-sekolah biasa tapi ditempatkan di satu tempat khas dengan tenaga pengajar peribadi yang khas dari kalangan sarjana Islam sendiri. Tidak mengapa jika kerajaan negara Islam belanjakan jutaan ringgit untuk mereka, kerana itu adalah merupakan pelaburan yang bermanfaat, insyaAllah. Semoga mendapat tindakan sewajarnya.
Semoga Allah merahmati kita semua. Wassalam.

Artikel berkaitan

Comments

Leave a Reply





This blog uses the CommentLuv plugin which will try and parse your sites feed and display a link to your last post, please be patient while it tries to find it for you.