Foto lelaki ‘di sebalik’ projek babi
Posted on April 16, 2008
Filed Under isu panas |
Kerajaan Selangor mendedahkan foto-foto yang membuktikan pentadbiran BN
sebelum ini berhasrat membangunkan projek ladang berpusat penternakan
babi di Kuala Langat.
Exco
kerajaan negeri Yaakob Sapari mendedahkan, antaranya, foto yang
menunjukkan pemimpin Umno dan juga wakil rakyat Tanjung Sepat, Datuk Dr
Karim Mansor, berdiri di luar petak ternakan dengan tangan menunjukkan
lambang “bagus”.
Yaakob berkata foto itu diharapkan boleh menjelaskan kepada ahli-ahli Umno bahawa parti itu tidak menentang projek tersebut.
“Kita
harap beliau (Karim) berhenti mempolitikkan perkara itu mulai
sekarang,” kata Yaakob petang semalam, selepas taklimat projek tersebut
kepada wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat dari Kuala Lumpur dan Selangor.
Karim
dan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo antara ahli
politik Umno yang lantang menentang projek itu yang didakwa diluluskan
sejak pentadbiran kerajaan BN lagi.
Selepas seorang pemimpin MCA mendedahkan pembabitannya beberapa
hari lalu, Karim - bekas setiausaha politik Dr Mohamad Khir - mengakui
beliau terlibat dengan beberapa lawatan di luar negara, termasuk
Jerman, untuk mengkaji sistem moden menternak babi.
Ketua biro
pertanian tradisional MCA Datuk Dr Lee Chong Meng dilaporkan berkata
sebuah syarikat bumiputera berhasrat membawa masuk teknologi Jerman
untuk projek tersebut.
Karim
dilaporkan pernah berkata projek itu akan menyebabkan masalah kerana
daerah Kuala Langat akan dikenali sebagai daerah penternakan babi.
Yaakob
sebelum itu turut memberikan taklimat mendalam kepada wakil media
tentang projek tersebut yang dijangka disiapkan dalam tempoh dua tahun.
Berbeza
dengan laporan awal, Yaakob berkata kerajaan negeri tidak membiayai
projek tersebut kerana ia dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta,
usahasama antara Persatuan Penternak Babi Kuala Langat dan sebuah lagi
syarikat yang tidak dinamakan.
Yaakob berkata, syarikat itu -
yang dijangka melabur R360 juta - akan dinamakan kemudian. Dalam projek
itu, penternak-penternak akan melabur RM125 juta.
Beliau juga
memberi jaminan ia tidak akan mencemarkan kawasan sekitarnya kerana
ladang itu tertutup dan dilengkapi penghawa dingin, manakala sisa
ternakan dikitar semula untuk kegunaan ladang.
Mengulas bantahan
penduduk Melayu di daerah itu, Yaakob berkata ladang itu akan dialihkan
ke tempat yang lebih jauh daripada lokasi cadangan asal.
Beliau
juga berkata projek itu akan dibangunkan di kawasan tanah bukan Melayu
dan jumlah haiwan yang diternak dihadkan kepada 250,000 ekor.
Ladang
Tumbuk di Kuala Langat menjadi tumpuan kegiatan penternakan binatang
itu dan menerima rungutan penduduk sejak bertahun-tahun.
Karim, dihubungi Malaysiakini kelmarin, menafikan beliau membantah projek tersebut seperti dilaporkan media berbahasa Melayu.
Malah, katanya, beliau terlibat dalam usaha memodenkan projek penternakan babi bermula sejak 2002 lagi.
Bagi
mengatasi masalah ladang haram penternakan haiwan itu dan pencemaran
yang dihasilkannya, projek pemodenan itu diperkenalkan mulai 2005.
Tambahnya,
mereka bukan sahaja melawat Frankfurt (Jerman), tetapi meninjau juga
Bangkok (Thailand) dan Amsterdam (the Netherlands)
sumber : malaysiakini.com/bm





Leave a Reply