Makan apa saja, bayar cuma RM2
Posted on June 12, 2008
Filed Under hangat |
Makan apa saja, bayar cuma RM2
|
|
KEKAL RM2… Khalid Ahmad
(berdiri) melayan pelanggannya menikmati nasi dan pelbagai lauk di Kedai Makan RM2 miliknya yang terletak berhampiran dengan Terminal Feri Kuala Kedah, Kedah, semalam. |
ALOR STAR 11 Jun – Pada saat kebanyakan peniaga makanan di seluruh
negara ghairah menaikkan harga jualan masing-masing ekoran kenaikan
harga minyak, pemilik sebuah kedai makan di Kuala Kedah dekat sini
masih mengekalkan kadar bayaran RM2 untuk apa juga hidangan termasuk
minuman.
Percaya atau tidak, itulah harga yang dikenakan oleh pemilik Kedai
Makan RM2, Khalid Ahmad, 41, sejak memulakan perniagaan makanan
kira-kira 20 tahun lalu.
Untuk satu hidangan, pelanggan boleh mengambil nasi putih bersama lauk seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.
Harga RM2 untuk makanan itu juga termasuk minuman tanpa mengira ia sirap bandung, teh ais atau minuman panas.
Paling membanggakan, kedai makan milik Khalid itu yang terletak
dekat jeti feri ke pulau peranginan Langkawi masih mampu menawarkan
pelbagai pilihan minuman dan lauk-pauk yang menyelerakan.
“Saya tidak mahu mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang
dengan menaikkan harga makanan kerana mahu mengekalkan pelanggan setia.
“Apatah lagi kebanyakan mereka terdiri daripada nelayan yang
berpendapatan rendah termasuk rakan-rakan saya sendiri,†katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Khalid memulakan perniagaannya seawal pukul 6 pagi kerana pada masa
itu nelayan mula turun ke laut. Kedai itu hanya ditutup selepas pukul 5
petang.
Katanya, selain nasi dengan beraneka jenis lauk antaranya ayam
goreng, kari ikan, udang kunyit dan daging kicap, kedainya turut
menjual laksa, bihun sup, mi sup dan kuetiau sup, juga pada harga RM2.
“Ada juga pengunjung yang datang dari luar Kedah seperti dari Kuala Lumpur terkejut ketika mahu membayar harga makanan di sini.
“Mereka mahu membayar lebih kerana tidak percaya dengan harga yang ditawarkan,†ujarnya.
Khalid yang mendapat bekalan bahan mentah ikan dan hasil laut lain
daripada nelayan di sini turut membeli barang keperluan dari pasar tani
berhampiran.
“Saat paling sibuk ialah pada waktu makan tengah hari apabila
pekerja dari pejabat agensi kerajaan berhampiran datang menjamu
selera,’’ katanya yang dibantu oleh isteri dan lima pekerja.
Menurut Khalid, selain berniaga di kedai itu beliau juga menerima
tempahan makanan dari kilang-kilang berhampiran dan hanya mengenakan
caj pengangkutan tambahan sebanyak 50 sen.
Beliau memberitahu, sehingga hari ini beliau belum berfikir untuk
menaikkan harga makanan di kedainya kerana merasakan masih mampu meraih
keuntungan.
“Makanlah apa sahaja, harganya tetap RM2 untuk seorang pelanggan,†katanya.
sumber : utusan online





Leave a Reply