Samad Lefthanded meninggal dunia
Khamis Oktober 23, 2008
Samad Lefthanded meninggal dunia
Tinggal kenangan: Allahyarham Samad (belakang)bersama ahli kumpulan Lefthanded. Dari kiri Nash, Tom, Man Kidal dan Arab.
KUALA LUMPUR: Bekas gitaris kumpulan Lefthanded, Abdul Samad
Mian 45, beliau yang lebih dikenali sebagai Samad meninggal dunia
kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi.
Difahamkan Allahyarham terjatuh dipejabat abangnya dan selepas itu beliau dikejarkan ke Hospital Amapng.
Bagaimanapun ketika tiba di hospital berkenaan, pihak hospital mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.
Samad meninggalkan seorang balu Norliza Sumairi, dan empat orang anak berusia di antara 6 hingga 18 tahun.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Kelang, Selangor patang ini.
Allayarham bersama kumpulan legenda rock terkenal sejak awal penubuhannya pada tahun 1985 lagi.
Menurut bekas vokalis Lefthanded, Nash, Allahyarham dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh.
“Saya tak dapat pastikan punca sebenar kematian beliau. Saya cuma
diberitahu Allayarham terjatuh. Ini pun saya sedang dalam perjalanan ke
hospital untuk melihat jenazah arwah,”katanya kepada mStar Online hari
ini.
Persahabatan yang terjalin lebih dari 25 tahun membuat penyanyi Nash
begitu sebak dan tidak dapat menahan emosinya apabila mendengar
pemergian sahabat karibnya Samad Lefthanded.
“Kami berkawan lebih dari 25 tahun, masa sama-sama belum berkahwin
lagi. Terlalu banyak kenangan bersama,” jelas Nash menahan esakan
kerana cukup terkilan tidak dapat berjumpa dengan arwah disebabkan
kesibukan kerja..
“Saya terlepas pandang SMS terakhirnya kerana terlalu banyak message
dalam handphone saya. Sekarang ni baru saya betul-betul terkilan…,”
ujarnya.
Nash dan Samad menganggotai kumpulan Lefthanded yang ditubuhkan di Johor Bharu pada tahun 1979.
Kumpulan ini asalnya terdiri daripada Man Kidal dari kumpulan Search
@ Abdul Rahman Mahmood, Samad @ Abdul Samad Mean, (Nash) @ Nashrudin
Elias Yan dari kumpulan Search @ Amran Marsiman dan Man Dayak @ Rahman
Othman.
Samad pernah menghasilkan alabum solonya berjudul Kenangan Bersamamu
pada tahun 1994. Menurut Nash, walaupun mereka ada seliseh faham tapi
semua itu sudah dilupakan mereka berdua.
“Adatlah berkawan, ada yang berkecil hati tapi kami tetap berkawan
sampai ke akhir hayat. Tapi itulah satu-satunya yang paling saya
terkilan dan tidak dapat lupakan ialah tidak membalas SMSnya pada Hari
Raya baru-baru ini.
“Saya cukup sedih bila membaca balik SMSnya,,,,,” kata Nash yang masih sebak dengan pemergian sahabat akrabnya itu.
Menurut Nash, Samad adalah seorang sahabat yang boleh bertolak-ansur dan suka meluahkan isi hatinya.
“Arwah jenis yang tidak suka simpan. Kalau dia tidak suka, dia akan
beritahu. Saya dah faham sangat perangainya,” kata Nash lagi.
Semasa bersama Lefthanded, Samad pernah menghasilkan album yang bertajuk Keadilan.
Seruan, Q’abul, Evolusi, Fanatisme, Nafas dan antara lagu-lagu yang
menggamit memori ialah Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi, Tiada Lagi
Kidungmu,Kenangan Bersamamu, Seruan, Ku Di Halaman Rindu dan Arah Yang
Hilang.
Pada pertengahan tahun ini, Samad giat merangka promosi album
petikan gitar terbarunya berjudul Guitar Jamming terbitan syarikat
rakaman FMC yang berada di pasaran sejak 12 Mei lalu.
Sejak tidak aktif bermain muzik bersama Lefthanded, Samad lebih
banyak menumpukan masanya sebagai pemuzik undangan selain menjalankan
perniagaannya sendiri.
Pada masa yang sama, anak kelahiran Johor Bahru ini juga mengisi
kerjayanya sebagai pensyarah sambilan dalam bidang petikan gitar moden
di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak empat
tahun lalu.
Samad pernah melahirkan kekecewaannya dengan industri hiburan
tempatan yang lebih menonjolkan penyanyi berbanding ahli-ahli muzik
dalam sesebuah kumpulan.
Menurut Allahyarham, sikap pilih kasih ini jelas dapat dilihat di
kebanyakan stesen televisyen (TV), radio, media cetak yang kurang
memberi pendedahan serta publisiti kepada para pemuzik tempatan.
Allahyarham menyuarakan agar para pemuzik diberi peluang memperlihatkan kemahiran mereka bermain alat-alat muzik.
Gitaris lagenda yang mula bersama Lefthanded sejak tahun 1985 dan
mempunyai kemahiran bermain gitar selama 25 tahun itu, menitipkan album
petikan gitarnya yang terkahir itu bagi membantu para peminat yang
ingin mempertingkatkan lagi kemahiran mereka bermain gitar.
Menerusi album terakhirnya itu. Para peminat boleh memetik gitar
menerusi lima buah lagu iaitu Rozana (Search), Lamunan Terhenti (Aris
Ariwatan), Kisah Kau Dan Aku (Alleycats), Kenangan Bersamamu
(Lefthanded) dan Memburu Rindu (Hattan).
Sepanjang beliau menjadi anak seni, Samad yang pernah menjadi
pemuzik undangan filem Rozana Cinta 87 itu pernah memenangi Album Rock
Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1995.
Setelah kehilangan gitaris handal M.Shariff beberapa tahun yang
lalu, industri kita kehilangan seorang lagi gitaris hebat, Abdul Samad
Mian. Semoga rohnya dicucuri rahmat. AlFatihah. Amin.









































