Rozita Che Wan kahwin…
Posted on February 25, 2008
Filed Under berita artis |
![]() Rozita Che Wan |
Rozita Che Wan ceburi bidang seni bukan untuk cipta cerita panas
SEPANJANG pembabitannya dalam dunia hiburan, sejak lebih setahun lalu, pelakon Rozita Che Wan melahirkan kesyukuran kerana dirinya belum ditimpa gosip yang mampu meruntuhkan kerjaya dan memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya. Begitupun, sebagai wanita yang mula dikenali ramai dan hidup pula sendirian, tentunya dia tidak mampu menjauhkan diri daripada cerita panas yang mengaitkannya dengan golongan lelaki.
Selepas dikaitkan dengan aktor Zizan Nin, dia didakwa pula sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki berstatus Tan Sri. Malah, kata pelakon jelita ini, ramai juga rakan dan kalangan artis yang menghubunginya, mengucapkan tahniah atas ‘perkahwinannya’ yang dia sendiri tidak ketahui.
“Masalahnya, saya sendiri tidak mengenali mana-mana Tan Sri, jauh sekali untuk berkahwin dengan seseorang yang dipanggil Tan Sri R. Entah bagaimana cerita sebegitu boleh tersebar?” tanya Rozita kembali ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dua set barang kemas yang bakal menjadi milik Bintang Paling Popular dan pembaca bertuah Anugerah Bintang Popular Berita Harian di bilik pameran Habib, Ampang Point, baru-baru ini.
Tidak cukup dengan Tan Sri R, baru-baru ini, gambarnya terpampang pula di ruangan gosip Bintang Popular, yang mengaitkannya dengan si bujang terkenal, Yusry Abdul Halim. Ketawa apabila membaca artikel terbabit, Rozita memberitahu, dia sendiri belum pernah bertemu secara berdepan dengan penyanyi, pelakon dan pengarah terbabit.
“Entah-entah, Yusry pun tidak mengenali siapa saya?” ujar Rozita yang menepis cerita kononnya dialah wanita yang dilihat berduaan dengan anggota KRU itu di Bangsar.
Ibu kepada dua anak lelaki, Ammar Effendy, 12, dan Aniq Ezzra, 10, ini menegaskan, dia menceburkan diri dalam dunia seni bukan untuk mencipta cerita panas sedemikian. Bukan juga populariti yang dikejar, dia sebaliknya berlakon untuk mencari rezeki menampung hidup mereka tiga beranak.
Sebelum bergelar peragawati dan pelakon, wanita cantik berusia 35 tahun ini terbang di awan biru sebagai pramugari selama tiga tahun. Dia juga pernah menghiasi klip video lagu Juwita (Citra Terindah) nyanyian M Nasir, apabila berjaya mengetepikan saingan 40 model lain. Klip itu membuatkan peminat mula bertanya, siapakah si jelita yang mendampingi sifu muzik berkenaan?
Sepanjang tahun lalu saja, Rozita terbabit dalam 22 judul drama televisyen. Ia satu pencapaian yang dikira cukup baik bagi pelakon yang baru saja berjinak-jinak di lapangan lakonan. Antara judul yang mengangkat namanya sepanjang 2007 ialah Susuk, Jelatang, Diari Ramadhan Rafique, Tetamu Rindu, Bisikan Hati, Berakhir Satu Penantian dan Sesuci Cinta Sofea.
Pada ketika namanya menjadi buruan produser, dia yang kini terbabit dalam penggambaran filem Kantoi bersama Yassin dan Nur Fazura, enggan mendabik dada meletakkan dirinya dalam kategori artis popular.
“Saya sendiri tidak tahu saya popular atau tidak. Semuanya terletak di tangan peminat di luar sana. Namun begitu, tidak saya nafikan, sejak akhir-akhir ini, saban hari tawaran berlakon drama tiba ke tangan saya. Semua itu ialah rezeki pemberian Tuhan. Niat saya berlakon dulu pun untuk mencari rezeki halal, bukan untuk mengejar kemasyhuran.
“Tetapi, saya cukup mengerti, populariti dan dunia lakonan saling berkaitan. Justeru, saya tidak dapat melarikan diri daripada turut menjadi perhatian. Saya amat bersyukur dengan segala tumpuan yang diberikan, walaupun pada waktu yang sama, kehidupan saya juga turut berubah. Kini, apabila melangkah saja keluar rumah, ada saja yang mengenali kita. Hendak keluar sebentar, lama pula jadinya.
“Jika diikutkan hati, tentulah saya inginkan kehidupan yang lebih normal dan tenang. Namun, inilah kenyataan yang saya perlu terima apabila bergelar anak seni,” katanya yang menganggap lakonan sebagai sebuah pekerjaan.
Ditanya mengenai pencalonannya ke peringkat Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular, Rozita yang menggayakan set barangan kemas yang bakal dimiliki pembaca bertuah BH pada petang itu memberitahu, dia tidak meletakkan harapan menggunung untuk mengungguli kategori berkenaan, menyedari saingannya bukan calang-calang.
“Sampai ke peringkat Top 5 sendiri satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi pelakon baru seperti saya. Bayangkan saja, calon akhir lain ialah pelakon yang jauh lebih ternama dan berpengalaman berbanding saya,” katanya yang bersaing dengan Rita Rudaini, Dynaz, Eja dan Fasha Sandha.
INFO: Rozita Che Wan
Artikel berkaitan
Comments
One Response to “Rozita Che Wan kahwin…”
Leave a Reply






hai………