Azmil Mustapha

Free Web Hosting with Website Builder

“Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila buka TV ada siaran
terjemahan al-Quran dan doa tutup siaran. Masa itu saya perhati
terjemahan tersebut dan saya rasa Allah hebat. Saya terus memuji Allah,
tapi cakap Inggerislah (ketawa)” - AZMIL MUSTAFA (bekas Pelakon Filem ‘Ali
Setan’).

BERSEMUKA bekas pelakon ‘Ali Setan’, Haji Mohd Azmil Dato’ Mustapha,
bagai tidak percaya bahawa watak nakal dalam filem tersebut telah
berubah sama sekali. Berjubah putih, berjanggut, riak wajahnya cukup
menggambarkan ketenangan dikecapinya. Berbual dengannya seolah-olah
mendengar ceramah, yang kini menjadi rutin hariannya. Ikuti temu bual
wartawan Harakah, ANIS NAZRI dengan Azmil, di kediamannya di Shah Alam
baru-baru ini.

HARAKAH : Bila mula berubah dan berhenti berlakon?

AZMIL:
Saya berhenti berlakon tahun 1998. Tapi baru-baru ini, saya berlakon
filem Puteri Gunung Ledang (PGL) kerana ditawarkan oleh Tiara
Jacquelina. Lagipun watak yang diberikan sebagai seorang pendakwah.
Itupun saya berat nak terima. Saya bagi 10 syarat yang remeh supaya
saya tidak berkata tidak. Nak dijadikan cerita, mereka terima syarat
saya, jadi saya tiada pilihan. Sedangkan saya rasa, orang lain tak akan
setuju syarat-syarat saya itu. Saya buat kajian tentang watak itu.
Memang dia pendakwah serta banyak mengislamkan orang di Nusantara.

Apa pendorong kepada perubahan?

Semuanya
kerana Allah. Ia jadi sekelip mata. Saya suka buat perbandingan macam
main bola sepak. Main bola sepak ni, 90 minit. Tapi dalam seminit
ketika masa tambahan itu, macam-macam boleh jadi. Keputusan boleh
berubah daripada 0-0 kepada 1-0. Saya juga macam itu, dalam sekelip
mata berubah. Saya bermula dengan memuji Allah. Saya puji dengan ikhlas
walaupun waktu itu saya jahil. Saya masih ingat, tahun 1979. Kebetulan
masa itu saya masih jahil. Perkara pertama yang saya lakukan apabila
sampai rumah, buka TV. Waktu itu saya baru balik dari pub, jadi apabila
buka TV ada siaran terjemahan al-Quran dan doa tutup siaran. Masa itu
saya perhati terjemahan tersebut dan saya rasa Allah hebat. Saya terus
memuji Allah, tapi cakap Inggerislah (ketawa). Wow! Allah is ‘great’!
Macam-macam la keluar dari mulut saya. Akhirnya, ia menjadi amalan
saya. Setiap malam saya mesti tengok siaran tu. Kalau keluar malam pun,
saya akan bergegas balik sebab nak kejar siaran itu.

Apa reaksi rakan-rakan ketika itu?

Kawan-kawan
saya terkejut. Tapi waktu itu saya belum berubah sepenuhnya. Jadi
kawan-kawan selalu perli saya. Macam-macam la mereka kata…kepala
senget, nak tengok Quran. Lebih kurang gitulah (ketawa). Lepas pada
itu, saya jumpa seorang ustaz dan diajar cara untuk bertaubat. Saya
buat taubat nasuha. Saya dalami agama, belajar sembahyang. Saya memang
tak tahu lansung sembahyang ni. Baca Quran merangkak-rangkak. Baca
Fatihah pun, buka buku lagi…itupun tulisan rumi. Tapi saya istiqamah.
Lama-lama ia makin meningkat. Saya ingat lagi dulu saya baca surah
Yassin ambil masa dua jam. Lepas solat Subuh, saya mula baca. Apabila
habis sedar-sedar dah pukul 8.30 pagi. Gara-gara baca merangkak la ni.
Umur dekat 30 tahun, baru saya hafal al-Fatihah. Alhamdulillah,
sekarang dah okey.

Masih membaca?

Sekarang
masih membaca. Saya penuhi masa dengan membaca al-Quran. Saya dah
tingalkan dunia seronok-seronok ni. Saya dah banyak buang masa waktu
muda dulu.
Saya suka berseronok, jadi saya nak tebus semuanya.

Berubah secara drastik, atau ’slowly’?

Dulu
saya belajar di negara orang kafir, hidup mengikut budaya kafir.
Apabila saya dah mendekati Allah, baru saya tahu apa yang saya buat
selama ni salah. Sebab tu saya tinggal terus, bukan ’slowly’. Saya tak
boleh ’slowly’. Kalau ’slowly’, saya tak tahu saya sempat atau tidak.
Kita tak tahu bila kita mati. Apabila dah timbul kesedaran, buang terus
zaman lampau kita, jangan ada rasa cinta pada kehidupan lama kita yang
sesat.

Hubungan dengan rakan-rakan hiburan?

Saya
berhenti terus, tak keluar langsung. Putus hubungan dengan kawan-kawan
dalam dunia hiburan. ‘Member’ baik pun saya tak jumpa atau hubungi.
Kalau jumpa setahun sekali waktu raya pun dah cukup baik. Kadang-kadang
tak jumpa pun sebab bagi saya, kalau saya masih terus bersama dengan
mereka tak mustahil saya akan kembali semula. Jadi saya ambil keputusan
tinggal semuanya.

Dah berani keluar berjumpa orang?

Sekarang
dah berani. Dulu memang langsung tak keluar sebab takut terpengaruh.
Pengaruh syaitan ni kuat. Setakat ni, pengaruh jahat selalu menang
berbanding pengaruh baik.

Perkembangan terkini setelah meninggalkan dunia lakonan?

Sejak
setahun kebelakangan ini saya banyak menerima jemputan untuk
berceramah, dan lebih kerap dua, tiga bulan kebelakangan ini. Saya
tidak membuat sebarang pekerjaan lain kerana sudah tak sempat.

Selain berceramah?

Saya
sedang membuat perancangan untuk ke Syria, menuntut ilmu. Sebelum itu,
saya buat solat hajat untuk memilih mana-mana destinasi. Kemudian saya
diilhamkan untuk ke Syria dan Yaman. Jadi, saya pilih Yaman. Kebetulan
saya berjumpa dengan seorang ustaz yang mengatakan kita kena buat
istikharah jika mempunyai pilihan. Jadi saya pun buat istikharah, dapat
petunjuk ke Syria. Empat kali istikharah, masih diilhamkan Syria. Jadi,
saya buat keputusan ke Syria. Dua tahun lepas saya berpeluang ke Syria,
dapat rasa satu ikatan istimewa berada di sana. Balik dari sana, saya
ditawarkan membuat rumah anak yatim, yang mengambil masa setahun untuk
ditubuhkan. Tapi akhirnya saya tarik diri kerana cara saya dan rakan
kongsi berbeza, kerana dia berasal dari England dan tak izinkan saya
berceramah. Jadi, saya ambil keputusan tarik diri daripada bergaduh.

Pernah bisnes sebelum ni?

Macam-macam
bisnes saya buat. Rugi juta-juta. Pertama, mungkin Allah tak izinkan.
Saya juga muhasabah diri. Yang saya ingat, saya pernah kata…kalau ada
duit, saya buat segalanya. Saya jual barang keperluan agama, seperti
tasbih, sejadah, buku-buku agama, kaligrafi Arab. Tapi saya tak sebut
‘kalau Allah izinkan…’ Agaknya sebab itulah bisnes saya tak berjaya.
Adalah hikmahnya dan setakat ni saya nampak rezeki saya pada ceramah.

Perasaan setelah meninggalkan dunia hiburan dan berkecimpung dalam dakwah?

Ketenangan
yang saya rasa tak dapat nak diceritakan. Tak boleh nak nilai. Tak
boleh nak dibandingkan dengan duit yang dulunya saya pegang juta-juta.
Duit boleh habis, tapi ketenangan yang saya rasa sekarang, saya tak
mahu jual biarpun orang bayar berjuta-juta. Saya juga rasa satu
perkembangan yang sangat baik bagi saya ialah apabila saya berceramah
ni, ilmu saya bertambah. Saya membaca, tanya ustaz-ustaz kerana saya
bukan latar belakang agama. Jadi, saya lebih mengenali Allah sejak
berceramah ni.

Alhamdulillah, sambutan orang terhadap ceramah
saya pun bagus. Maklumlah, ’setan’ datang ceramah. Kalau ulama ceramah,
tak ramai datang. Tarikan setan memang kuat (ketawa).

Topik apa yang selalu disebut ketika berceramah?

Kalau
berceramah, saya lebih suka mengingatkan diri saya dan umat Islam lain
supaya membangunkan semula Islam, kerana hari ini pemikiran dan seluruh
kehidupan kita dijajah oleh orang kafir. Islam tiada sempadan, hanya
orang kafir yang meletakkan sempadan dan jajahan, dan kemudiannya kita
ikut. Orang kafir dah kuasai minda kita, kehidupan kita, hingga orang
Islam hari ini melakukan perkara yang menjauhi diri daripada Allah.
Tetapi semuanya dalam keadaan tidak sedar kerana sudah biasa ikut hukum
orang kafir hingga tak rasa besalah langgar perintah Allah. Hukum Allah
ni kena ikut setiap masa, bukan dalam solat semata-mata. Kadang tu,
dalam solat je ikut Allah, lepas solat ikut balik cara kafir. Itu
kesedaran yang perlu ditimbulkan untuk umat Islam.

Banyak menerima jemputan, selain PAS?

Saya
dapat jemputan daipada RTM, buat rakaman dengan Pahang FM. Juga buat
untuk jabatan agama Islam. Saya tidak mengehadkan kerana saya buat
kerana Allah Taala, jadi tiada kompromi tentang itu. Bagi saya,
memasuki pilihan raya ni satu kompromi, bagi sayalah. Kalau nak kuasa,
minta pada Allah. Bukan minta pada sistem yang disediakan orang kafir.
Bagi sayalah…(ketawa).Pilihan raya itu sistem orang kafir yang kita
ikut. Lagi pun, jelas berlaku dalam negara yang amalkan politik,
apabila parti Islam menang, mereka tetap tidak dapat berkuasa. Perkara
ini berlaku di Algeria, Maghribi, Turki, Lubnan, Palestin. Hamas memang
pun masih tak boleh berkuasa. Sistem orang kafir ni tak akan bagi Islam
ambil kuasa.

Pernah terima tentangan sejak berdakwah?

Apabila
saya bercakap agak lantang, ada orang yang labelkan saya ekstrim.
Pernah suatu ketika dulu, mikrofon masjid ditutup apabila saya bercakap
lantang. Ini orang-orang yang taat pada perlembagaan negara berbanding
perlembagaan Allah. Perlembagaan itu perlembagaan kafir Lord Reid. Saya
pegang kukuh, taat pada pemerintah selagi dia tidak melanggar hukum
Allah. Kalau dah langgar, tak perlu lagi kita taat padanya

Cenderung pada politik?

Saya
tidak bercakap atas dasar politik. Saya bercakap atas dasar Allah, ke
jalan Allah. Bagi saya, Umno, PAS, KeADILan ni macam satu pasukan bola
sepak. Umno sebagai Manchester United, PAS Chelsea, ADIL Liverpool.
Padangnya sama…stadium. Pengadil sama, SPR. Sebab itu, saya pilih
bercakap atas dasar agama semata-mata.

Bagaimana melihat umat Islam hari ini?

Saya
sedih sebenarnya melihat orang Islam bergaduh, atau berselisih
pandangan sesama Islam. Soal kecil pasal wajib baca qunut, ada yang
kata sunat, tangan perlu letak di perut, wajar letak di dada.
Benda-benda macam itu. Kita sesama Islam pertikai…tapi dalam masa
sama biarkan saja orang kafir buat sesuka hati. Sedangkan merekalah
(kafir) yang perlu kita musuhi. Kita ni terlalu banyak kelemahan. Dari
segi kehidupan. Begitu juga bahasa. Dulu kita guna bahasa Arab sebagai
bahasa sandaran seperti ilmu, khabar, akhlak, warta, Isnin, Selasa.
Sekarang dah jadi integrasi, dominasi, automobil…semua ni dari bahasa
Inggeris. Kita jadi makin jauh dengan Allah. Ada orang baca Quran,
bertajwid, berlagu tapi tak tahu makna. Apa semuanya tu? Kita tak boleh
ambil Islam ni secebis sana, secebis sini. Kena ambil seluruhnya.

Soal keluarga. Menjadi bapa tunggal. Kisah di sebaliknya?

Saya
berkahwin dua kali. Pertama, bercerai kerana tak boleh terima saya
sebagai hak masyarakat. Jadi artis ni, kita jadi hak orang ramai. Jadi,
dia tak boleh terima keadaan itu. Bertahan lima tahun saja. Ada anak
perempuan seorang, dah umur 21 tahun. Saya jarang jumpa anak saya tu,
sebab mak dia tak bagi jumpa. Tak apalah, saya reda. Kuasa Allah, dia
masuk UiTM, dekat la untuk saya jumpa.

Dia tak nak duduk sekali?

Ada
sekali nak duduk dengan saya. Saya tak kisah, tapi saya bagi syarat.
Suruh pakai tudung, sembahyang. Sehari lepas itu, dia balik semula ke
rumah mak dia. Tak tahan agaknya (ketawa). Ada kawan-kawan kata saya
keras. Saya terpaksa keras sebab kalau tak keras, ia boleh merosakkan
semua yang saya dah mulakan. Saya tak sanggup nak ambil risiko
tersebut. Orang sekarang lebih sayang harta daripada keluarga. Tak
berani nak tegur anak. Sayang tak bertempat. Anak-anak semua bawah
jagaan saya. Dulu saya bagi anak-anak ke rumah mak mereka. Tapi masalah
sekarang, apabila balik dari rumah mak mereka, anak saya dah tak pakai
tudung. Tanya pasal sembahyang, adalah buat sekali sembahyang. Saya
fikir tak boleh jadi macam ni. Jadi, sekarang dah tak pergi lagi ke
rumah mak mereka. Saya izinkan mereka jumpa di ‘club house’, di kawasan
rumah ni saja. Mujur waktu bercerai dulu saya letak syarat-syarat
supaya jaga syarak kalau nak terus berhubung dengan anak-anak. Jadi
saya ada hak untuk menyekat.

Perancangan masa depan?

Pertama
saya nak belajar bahasa Arab di Syria, sebab ada satu tempat tu berjaya
mengajar orang kafir berbahasa Arab dalam masa tiga bulan. Saya dah
cuba kat sini, tapi tak menjadi. Yelah, dalam kelas cakap Arab, keluar
kelas cakap Melayu balik. Mana nak jadi. Saya cadang lepas raya, itupun
bergantung kepada kewangan. Mungkin setahun di sana dan saya akan bawa
anak-anak saya semua ke sana. Kenapa? Sebab saya nak bantu mereka
mendapat pendidikan yang lebih baik dan lebih awal daripada saya. Saya
nak mudahkan mereka. Tak mahu mereka jadi macam saya.

Mungkin mahu menamatkan zaman duda?

Saya
rasa perlu kerana dah tak cukup masa nak tumpu pada keluarga berbanding
dulu. Saya dah banyak keluar sekarang, kasihan pada anak-anak selalu
ditinggalkan. Tapi calon tak ada lagi…(ketawa)

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>


This blog uses the CommentLuv plugin which will try and parse your sites feed and display a link to your last post, please be patient while it tries to find it for you.