Stacy juara AF 6
Posted on May 24, 2008
Filed Under AF |



KUALA LUMPUR 24 Mei _ Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF)
diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah,
Stacy dinobatkan sebagai juara AF 6 yang disiarkan secara langsung dari
Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.
Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia
mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF
selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.
Kemenangan Stacy, pelajar kelahiran Kota Kinabalu sudah dijangka
kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan,
dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang
selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para
penyokongnya.
Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa)
dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang
hadiah yang bernilai lebih RM700,000.
Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos,
Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan,
kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000
serta sebuah trofi bersalut emas.
Persembahan gadis genit itu juga mendapat reaksi yang positif
daripada tiga pengkritik iaitu Fauziah Ahmad Daud, Ning Baizura dan
Adlin Aman Ramlie.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.
Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej
percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah
trofi.
Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22,
yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz)
dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.
Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.
Mereka masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM5,000 dan
RM3,000, pakej pelancongan ke Chiang Mai serta sebuah trofi.
sumber : utusan online





Leave a Reply